Kesebelasan utama KDA FC pada aksi persahabatan menentang Majlis Perbandaran Kubang Pasu di Jitra.
Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mahu para pemain skuad Sang Kenari menyingkirkan rasa gugup dan rendah diri apabila beraksi dalam perlawanan pertama Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026.
Beliau menegaskan bahawa walaupun pasukan itu baru dibentuk, semangat juang dan keyakinan diri adalah kunci utama dalam menghadapi saingan berpengalaman seperti Machan FC.
“Masuklah ke padang dengan minda untuk menang. Walaupun kita ‘underdog’, jangan takut atau gugup. Keyakinan diri akan membentuk jati diri pasukan,” katanya selepas menyaksikan perlawanan pramusim menentang Majlis Perbandaran Kubang Pasu di Jitra.
Tambahnya, masalah lazim setiap pasukan baharu yang dibentuk adalah rasa kurang percaya pada kemampuan diri sendiri.
Justeru, beliau menyeru pemain agar tampil dengan sifat optimistik dan berani mengambil risiko dalam setiap perlawanan.
“Pemain muda perlu tampil dengan keberanian dan percaya bahawa mereka mampu bersaing walaupun berdepan pasukan yang sudah lama bertapak dalam liga,” ujarnya.
Mengulas aksi pramusim, Mohd Daud menyatakan bahawa skuad Sang Kenari menunjukkan peningkatan ketara dari segi taktikal dan keserasian apabila beraksi menentang Majlis Perbandaran Manjung FC dan Manjung City FC.
“Mereka hanya perlukan sedikit masa untuk memperkemas kelemahan yang ada sebelum saingan liga bermula,” jelas beliau.
Liga A1 Semi Pro musim ini dijangka menjadi medan penting untuk KDA FC membuktikan kemampuan, dengan perlawanan pembukaan menentang Machan FC dijadual berlangsung pada 3 Ogos depan di laman sendiri.