KDEBWM selesai sebahagian saman sepatutnya ditanggung subkontraktor

KDEBWM selesai sebahagian saman sepatutnya ditanggung subkontraktor


SHAH ALAM: Syarikat pengurusan sisa pepejal Selangor, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) mendakwa sudah pun menyelesaikan 13,000 saman yang dikenakan ke atas lori-lori kompaktor milik mereka secara berperingkat.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, saman yang dikenakan ke atas kenderaan milik mereka sepatutnya ditanggung oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang mengendalikan majoriti kenderaan KDEBWM.

Menurutnya, setiap subkontraktor bertanggungjawab terhadap sebarang saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan atau pemandu di bawah kendalian mereka.

“Walau bagaimanapun, kami mengakui berlaku kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan kecil subkontraktor yang menyebabkan pemakluman saman tidak sampai kepada pihak kami dalam tempoh ditetapkan.

“Berdasarkan prosedur JPJ, saman yang tidak dijelaskan dalam masa tiga bulan, notis akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM dengan tambahan dua bulan lagi untuk penyelesaian,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook apabila sebanyak 28 syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspress yang mencatatkan jumlah tertinggi.

Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, syarikat pengendali kenderaan barangan, KDEBWM mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017 diikuti Mainiza Mantap Sdn. Bhd .(5,108); Advancecon Machinery Sdn. Bhd. (3,620); VK Transport Sdn. Bhd. (3,016) dan Ng Swee Aik Trading Sdn. Bhd. (2,352).

Bagaimanapun, KDEBWM dalam kenyataan sama turut menjelaskan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu perlu diteliti secara holistik sebagai contoh sekarang dua saman bagi sebuah lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman dalam sebulan atau lebih 9,000 tan dalam setahun.

“Sebaik sahaja menerima pemakluman, KDEBWM mengambil tindakan segera dengan membuat semakan dalam menyelesaikan saman secara berperingkat.

“KDEBWM amat menghargai peranan dan tanggungjawab JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya. Kami juga menyatakan komitmen penuh untuk memperkukuh siste pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan subkontraktor serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti,” jelasnya.

Katanya lagi, sebagai syarikat yang menguruskan pengendalian sisa pepejal dan pembersihan awam terbesar di Malaysia, KDEBWM mengoperasikan lebih 1,500 unit kenderaan termasuk lori kompaktor, roll-on roll-off (roro) di seluruh neger.

“Operasi dijalankan setiap hari tanpa henti, termasuk hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top