Kota Bharu: Isu tunggakan gaji membabitkan pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam proses penyelesaian, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.
Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan mengenai berlaku tunggakan pembayaran gaji berkenaan dan bersedia mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu.
“Kita telah menghantar notis kepada mereka yang terlibat untuk berjumpa. Ada yang datang berjumpa lebih kurang 10 orang mengikut notis dikeluarkan.
“Yang datang berjumpa sudah selesai (bayaran dilunaskan) yang belum, ia masih tidak selesai,” katanya kepada pemberita di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Mohd Irwan Rizal berkata, perkara itu perlu ada pertemuan secara formal memandangkan ia melibatkan beberapa faktor termasuk kewangan dan inisiatif untuk menyelesaikan isu berkenaan menunjukkan pihak pengurusan baharu mengambil sikap tanggungjawab, bukannya lepas tangan.
“Kita buat penawaran untuk menyelesaikan perkara itu kerana berasa tanggungjawab. Kita berharap ia dapat diselesaikan dengan cepat, bahkan kita sudah menghantar notis baharu untuk bertemu dalam tempoh tujuh hari lagi kepada mereka yang tidak hadir sebelum ini.
“Dari segi keseluruhan nilai tuntutan itu saya tidak mendapat nilai yang tepat memandangkan jumlah tuntutan daripada mereka perlu disahkan terlebih dahulu sebelum bayaran dilunaskan.
“Bagaimanapun, kita sedia bertemu dan menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai pertukaran nama pasukan, beliau berkata, ia perkara biasa apabila pengurusan baharu mengambil alih dan hal ini sepatutnya tidak perlu dijadikan isu.
“Penjenamaan semula ini antara inisiatif kerana ia membabitkan penstrukturan semula termasuk pemain, sistem pengurusan, pentadbiran dan penjenamaan semula nama pasukan. Kalau kita rasa perlu diperbaharui (nama pasukan) kita baharui.
“Bagaimanapun, kita tiada masalah antara pasukan pemain lama dan baharu memandangkan kita mengamalkan konsep kebersamaan. Walaupun berlaku penjenamaan semula, namun kita menganggap semua seperti keluarga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd