Rozi (tengah) bersama Irwan Rizal (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja dan rakan strategik pada Majlis Apresiasi KDN FC di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Rabu.
KOTA BHARU – Kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengakui masih berhutang empat bulan gaji dengan barisan pemain Liga Super pasukan itu untuk musim 2024/2025.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata, pihak pengurusan mengambil serius perkara tersebut dan akan menyelesaikan masalah berkenaan dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kita (KDN FC) berdepan tunggakan hanya tujuh bulan sahaja bukan lapan bulan sebagaimana didakwa. Tunggakan itu tidak lama.
“Kemudian kita telah teruskan penyelesaian dan setakat ini ia masih berbaki sebanyak empat bulan,” katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Apresiasi KDN FC di Hotel Perdana di sini pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassa dan Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.
Menurut beliau, bayaran untuk tempoh sebulan tunggakan itu akan diselesaikan pada minggu hadapan.
Media sebelum ini melaporkan, pemain KDN FC Faizal Talib terpaksa melakukan tiga pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi menyara keluarga ketika Ramadan.
Hal ini kerana, Faizal boleh dikatakan sudah lima bulan tidak merasai nikmat gaji sebagai pemain bola sepak profesional bermula November tahun lalu hingga Mac 2025.
Menurut pemain tersebut, segala usaha sudah dilakukan termasuklah membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini, namun belum ada perkembangan terkini mengenai kesnya.