KDN FC perlu utamakan penyelesaian tunggakan gaji

KDN FC perlu utamakan penyelesaian tunggakan gaji


Laporan Sinar Harian berhubung KDN FC masih hutang empat bulan gaji pemain

PENGURUSAN Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dinasihati agar memberi keutamaan kepada penyelesaian tunggakan gaji pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga‑M) 2025/2026.

Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi berkata, masalah tunggakan gaji mampu melemahkan semangat pemain dan menjejaskan usaha memulihkan kegemilangan bola sepak negeri.

Beliau mencadangkan agar kelab menawarkan kadar gaji yang lebih rendah tetapi konsisten dibayar, berbanding janji gaji tinggi yang akhirnya gagal ditunaikan.

“Saya tidak mahu isu yang sama berulang. Pemain mencari rezeki melalui bola sepak; jika gaji tidak dibayar, motivasi mereka akan pudar. Walaupun di bawah RM7,000 sebulan, asalkan konsisten, sudah memadai,” katanya pada Ahad.

Sementara itu, bekas pemain TRW, Mohd Farisham Ismail menegaskan pengurusan kukuh dan gaji realistik penting bagi kestabilan pasukan, sambil menyifatkan gaji rendah tetapi konsisten lebih baik daripada janji tinggi yang tidak dibayar.

Pada 7 Mei lalu, media melaporkan KDN FC masih berdepan tunggakan empat bulan gaji pemain bagi musim 2024/2025, namun Presidennya, Rozi Muhamad memberi jaminan isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top