KDN FC yakin dapat lesen, kekal bersaing di Liga Super

KDN FC yakin dapat lesen, kekal bersaing di Liga Super


Rozi (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja dan rakan strategik pada Majlis Apresiasi KDN FC di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU – Kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN) FC yakin mampu memperoleh Lesen Kebangsaan dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali gus membolehkan skuad Kijang Emas itu kekal bersaing dalam kancah Liga Super 2025/2026.

Presidennya, Rozi Muhamad berkata, setakat ini KDN FC sudah berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus urusan pelesenan kelab.

“Untuk syarat pelesenan, pihak kelab telah lakukan terbaik bagi memenuhi segala permintaan daripada MFL.

“Ketika ini tinggal lagi keputusan rasmi mesyuarat First Instance Body (FIB) sama ada KDN FC layak untuk bersaing pada musim akan datang,” katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Apresiasi KDN FC di Hotel Perdana di sini pada Rabu malam.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassa dan Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Menurut beliau, untuk musim baharu nanti KDN FC melakukan perubahan besar-besaran dalam barisan pemain.

Ujarnya, pada masa sama ia turut melibatkan pengurusan apabila KDN FC membuat rombakan dalam usaha memperkemaskan pasukan.

Rozi memberitahu, dalam saingan musim lalu masalah kewangan memberikan kesan sehingga menjejaskan prestasi pasukan.

Katanya, untuk saingan 2025/2026 nanti KDN FC sudah menyediakan pelan baharu ke arah memulihkan semula pasukan.

Mengulas lanjut, menurut Rozi, pelantikan Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merupakan salah satu nafas baharu yang disuntik ke arah memperkasakan lagi KDN FC.

“Sudah tentu kita mengharapkan satu perubahan besar dari segi pengurusan dan pasukan.

“Saya yakin beliau (Irwan Rizal) mampu memperkasakan kewangan pasukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top