am@hmetro.com.my
Kuala Berang: National Scam Response Centre (NSRC) yang bakal digerakkan secara bersepadu dalam masa terdekat mampu menangani masalah kerugian dalam kalangan mangsa scammer di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum ini ada empat agensi kawal selia antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis.
Menurutnya, mangsa scam akan menghubungi pusat talian 997 untuk aduan tetapi bila empat agensi kawal selia yang mengoperasikan sesuatu kes adalah tidak begitu efisyen kerana jalan penyelesaian akan menjadi bersimpang siur.
Katanya, misalnya mangsa menghubungi pusat aduan tetapi pusat aduan itu bukannya 24 jam, sebab kita ada ejen panggilan yang menerima panggilan daripada orang ramai yang menjadi mangsa.
“Dengan wujudnya NSRC secara bersepadu, kita akan buat operasi 24 jam, sekarang kalau mangsa itu sedar bahawa dia kena scam contohnya pada jam 9 malam, dia kena tunggu pagi esok untuk membuat aduan.
“Bila kita perkukuhkan NSRC ini, sebagai contoh sekiranya jam 10 malam kena tipu, jam 10 malam juga dia boleh telefon pusat aduan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, semalam.
Menurutnya, panggilan akan dijawab anggota polis yang bertugas dan akan segera membuat laporan polis.
Katanya, kemudian akan diambil butiran nama mangsa, nombor akaun dan lain-lain sebelum maklumkan kepada bank untuk tindakan lanjut.
“Langkah pertama adalah henti dulu, bekukan dulu akaun mangsa supaya pihak yang melakukan scam itu tidak boleh keluarkan duit mangsa.
“Kalau kita berada pada posisi mangsa, itulah keutamaan kita, apa tujuan kita telefon bank, bekukan akaun, kemudian polis segera berusaha untuk menyelamatkan dan mengembalikan wang kepada mangsa.
“Itu aturan dia, jadi langkah pengukuhan memerlukan tiga perkara, yang pertama ia akan diterajui oleh polis dengan sokongan agensi lain tetapi tetap ada peranan BNM dan MCMC,” katanya.
Menurutnya, yang kedua ke arah penambahan kakitangan dan pada prinsipnya kerajaan sudah bersetuju melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri DAtuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, unit itu akan mempunyai kakitangan yang sendiri kerana sekarang ini mereka masing-masing berkongsi melakukan tugasan berkenaan dan bukannya secara bersepadu.
“Sudah tentu nanti akan ada pejabat khas untuk unit ini, jadi kita akan mempunyai lokasi khas, penambahan kakitangan dan akan beroperasi 24 jam dengan pejabat yang lengkap dan itu dimaksudkan dengan pengukuhan NSRC,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd