firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan kelulusan permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan kewarganegaraan adalah mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang sah.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, segala proses dibuat mengikut tatacara dan tertib yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan di mana ketujuh-tujuh pemain berkenaan berjaya melepasi semua proses berkenaan.
“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan mempertimbang dan memproses keputusan tentang warganegara.
“Ada tiga rukun digunakan untuk membuat keputusan ini iaitu pemohon itu sendiri mesti memohon dan tak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak pernah guna khidmat ejen.
“Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini hari ini.
Jelas Saifuddin lagi, pihaknya turut menggunakan Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 yang membawa kepada keperluan mengisi Borang C dilengkapi butiran pasport dan dokumen berkaitan.
“Di sana (JPN), ada satu perkara lagi iaitu FIFA mengatakan seseorang yang mahu bermain dengan sesebuah negara, pertama pemain kena lahir di negara itu.
“Kedua, ibu atau bapa bagi tujuh pemain ini dilahirkan di negara itu dan yang ketiga, datuk dan nenek pemain dilahirkan di negara berkenaan.
“Keempat, pemain hidup secara berterusan di satu tempat. Mana-mana satu daripada syarat ini kalau dipatuhi, pemain itu layak mewakili negara dan berdaftar dengan FIFA. Itu urusan FAM,” katanya.
Selain itu, Saifuddin turut menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen Bangi mengenai adakah ketiga-tiga keperluan dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dipenuhi sepenuhnya oleh tujuh pemain berkenaan.
Katanya, beliau turut menggunakan Perkara 20 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan dalam menggunakan budi bicaranya selaku Menteri KDN untuk memenuhi keperluan dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam Perlembagaan juga ada satu seksyen namanya Sekysen 20 (1) (e) di mana Menteri boleh menggunakan kuasa budi bicaranya. Kuasa 20 (1) (e) ini, maksud permaustatin itu seperti mana dalam perlembagaan adalah keberadaan pemohon di luar pun boleh dianggap dia bermaustatin di dalam negara, begitu bahasa perundangan dalam buku ini dalam kitab ini.
“Maka saya guna pakai perkara 20 (1) (e) ini bagi memenuhi syarat pemaustatin ini. Baik pengetahuan bahasa melayu yang mencukupi atau memadai, maknanya kita cakap dia faham,” katanya.
Terdahulu, FIFA menggantung tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selama 12 bulan serta denda
Dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Susulan itu, FAM bakal membuat rayuan kepada FIFA bagi menuntut keadilan terhadap tujuh tonggak terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd