'Keadaan ayah masih sama cuma saya runsing fikir soal kewangan'

'Keadaan ayah masih sama cuma saya runsing fikir soal kewangan'


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Keadaan ayah masih sama cuma saya runsing juga memikirkan soal kewangan kerana belum tahu berapa bil perubatan selagi ayah ditahan di dalam wad,” kata Muhamad Alif Ikmal Mohd Asri atau dikenali sebagai Alif.

Alif, 25, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perkembangan bapanya, Mohd Asri Salleh, 53, yang masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini bagi pemantauan selepas disahkan menghidap diabetes serta jangkitan kuman pada bahagian kaki.

Menurut Alif, dia kini hanya bergantung dengan hasil jualan durian sejuk beku kepada pemborong kerana masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji.

“Cuma belum ada jangkaan bila ayah akan dibenarkan pulang ke rumah jadi kena usaha juga cari sumber kewangan selain bergantung dengan simpanan dan pendapatan yang ada.

“Andai kata ayah dibenarkan keluar dari wad nanti, tak pasti lagi berapa bil yang perlu dijelaskan kepada pihak hospital.

“Selain itu, saya kena usahakan beli katil hospital untuk keselesaannya di rumah nanti dan wang bagi membayar upah ambulans berulang alik ke hospital kerana dalam keadaan sekarang, ayah tak boleh bergerak serta duduk dalam kereta biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Alif berharap, ada pihak sudi membantu meringankan bebannya namun dia juga akan berikhtiar dan melakukan yang terbaik buat bapanya.

“Saya hargai apa jua bantuan baik sumbangan mahupun doa daripada orang ramai.

“Hanya Allah SWT saja dapat membalasnya dan selagi bernyawa, saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dengan menabur bakti kepada ayah,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7649888826 atas nama Muhamad Alif Ikmal Mohd Asri.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Alif yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang pemprosesan durian dan sudah hampir dua bulan mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga bapanya, Mohd Asri di HCTM UKM, dekat sini.

Mohd Asri dimasukkan ke hospital pada 9 Jun lalu dan ditahan sehingga kini untuk pemantauan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top