Kebakaran hutan: Lebih 17,000 penduduk di wilayah Manitoba tengah Kanada, dipindahkan

Kebakaran hutan: Lebih 17,000 penduduk di wilayah Manitoba tengah Kanada, dipindahkan


Ottawa: Lebih 17,000 penduduk di wilayah Manitoba tengah Kanada diarahkan berpindah serta-merta semalam, selepas kawasan itu dilanda musim kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh beberapa tahun.

Premier Manitoba, Wab Kinew dalam sidang media berkata, kerajaan wilayah itu mengisytiharkan darurat di seluruh Manitoba susulan situasi kebakaran yang semakin membimbangkan.

“Ini adalah pemindahan terbesar yang pernah disaksikan dalam ingatan hidup kebanyakan penduduk Manitoba,” katanya.

Kinew memaklumkan, beliau sudah meminta Perdana Menteri Kanada Mark Carney untuk mengarahkan tentera membantu operasi pemindahan dan pemadaman kebakaran.

Katanya, pesawat tentera akan dikerah dalam masa terdekat untuk memindahkan penduduk dari kawasan terpencil di utara yang berisiko tinggi, selain membawa masuk bantuan tambahan pasukan bomba.

Antara lokasi yang terjejas termasuk bandar perlombongan Flin Flon, dengan 5,000 penduduknya sudah diminta bersiap sedia untuk meninggalkan rumah pada bila-bila masa ekoran kebakaran besar yang semakin hampir.

Penduduk beberapa lagi pekan terpencil dan komuniti Orang Asli turut diarahkan berpindah serta-merta. Sebahagian besar mereka dijangka dibawa ke ibu negeri wilayah itu, Winnipeg.

Setakat ini, 22 kebakaran hutan aktif dilaporkan sedang marak di seluruh Manitoba.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top