mdroji@bh.com.my
Kuching: Bomba menghadapi cabaran getir apabila sebuah lori yang membawa muatan cecair kimia yang tidak dikenal pasti terbakar berhampiran Vista Perdana, di Jalan Miri Bypass, di Miri, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.16 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dibantu BBP Miri Sentral diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Ketika operasi pemadaman, pasukan bomba mendapati cecair kimia yang yang bocor adalah bersifat menghakis apabila menyebabkan kerosakan pada kasut beberapa anggota bomba yang sedang bertugas.
“Ketua Operasi di lokasi segera mengarahkan anggota menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang lengkap sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pendedahan langsung kepada bahan kimia itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemadaman kebakaran terpaksa dilakukan dari jarak selamat menggunakan pancutan air serta buih dan keselamatan awam menjadi keutamaan dengan kawasan kejadian segera dikawal sepenuhnya untuk memastikan tiada yang menceroboh.
“Tindakan itu juga bertujuan menstabilkan keadaan agar insiden tidak menjadi lebih serius,” katanya.
Beliau berkata, situasi bertambah rumit apabila pemandu lori gagal memberikan maklumat tepat mengenai jenis bahan kimia yang dibawa kerana dokumen pengangkutan atau dikenali sebagai manifest kimia, turut musnah dalam kebakaran itu.
“Berdepan dengan ketidakpastian jenis bahan dan sifatnya yang menghakis, PGO segera menghubungi pegawai pasukan Hazmat, Mohamad Maramit, untuk mendapatkan khidmat nasihat serta panduan berkenaan prosedur pengendalian bahan berbahaya itu.
“Susulan nasihat pegawai terbabit, pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu diarah segera bergerak ke lokasi kejadian dan pada masa yang sama bomba berusaha mendapatkan maklumat bahan kimia itu secepat mungkin dari syarikat pembekal atau penerima,” katanya.
Menurutnya, pasukan Hazmat Bintulu yang terdiri daripada 10 anggota tiba di lokasi yang jaraknya lebih 200 kilometer pada jam 6.10 pagi bersama satu unit alat decontamination (DECON).
“Sejurus tiba, pasukan Hazmat mengambil bacaan kepekatan cecair yang tumpah. Ujian menggunakan kertas litmus dan meter pH mendapati kepekatan asid berada pada bacaan pH 2, mengesahkan sifatnya yang sangat menghakis.
“Selepas itu, pasukan Hazmat memulakan proses pencairan dan peneutralan kepekatan asid di kawasan terjejas menggunakan pancutan air dari jentera dan usaha itu dilakukan secara berhati-hati untuk mengurangkan risiko bahaya kepada persekitaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd