Kebangkitan De Jong sandaran Barca layan Dortmund

Kebangkitan De Jong sandaran Barca layan Dortmund


Barcelona: Peningkatan prestasi Barcelona di bawah kendalian Hansi Flick membantu Frenkie de Jong kembali ke prestasi terbaiknya.

Sebagai balasan, pemain tengah Belanda itu membolehkan kelabnya kembali mengimpikan kejayaan lebih gemilang pada musim ini.

Gergasi Catalan itu kini dalam pemburuan kejuaraan empat piala dan akan menjadi tuan rumah kepada Borussia Dortmund pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Khamis ini.

Sejak de Jong kembali mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan, Barcelona meningkatkan prestasi mereka apabila kembali bersaing di puncak La Liga serta meneruskan kemaraan di pentas Eropah.

Kali terakhir mereka memenangi UCL adalah pada 2015 dan selepas melalui pelbagai detik memalukan, kini mereka kembali tersenarai antara pilihan untuk menjulang trofi itu.

Musim lalu, mereka mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2020 dan tahun ini, mereka menjadi pilihan untuk melangkah ke separuh akhir.

De Jong membentuk gandingan ampuh di tengah padang bersama Pedri Gonzalez.

Walaupun kedua-dua pemain bukan yang terbaik dari segi tugas bertahan, keserasian mereka cukup untuk membantu pertahanan Barca sambil menyerlah dalam mengatur serangan.

“Bermain dengan pemain seperti Pedri memudahkan segala-galanya,” kata De Jong, minggu lalu.

Flick memuji kedua-duanya selepas mereka membantu Barca mara ke final Copa del Rey dengan kemenangan di tempat lawan menentang Atletico Madrid.

“Frenkie dan Pedri sangat luar biasa, sangat berani dengan bola dan mengekalkan penguasaan,” ujar Flick.

Perjalanan semula De Jong bukanlah mudah apabila sehingga awal tahun ini, dia berada di belakang Marc Casado dalam senarai kesebelasan utama.

Flick memulakan musim dengan pemain muda, Marc Bernal di posisi tengah bertahan, namun selepas dia mengalami kecederaan jangka panjang, Casado menjadi pilihan.

De Jong pula mengalami kecederaan pada April 2024 dan hanya kembali cergas pada Oktober dan buat seketika, Flick hanya menggunakannya secara berperingkat.

“Dia perlu hadapi situasi ini dan membina semula keyakinannya,” kata Flick pada November lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top