Merino meledak jaringan penyamaan buat Arsenal. Foto: Agensi
ARSENAL mencetuskan kebangkitan luar biasa di Stadium St James’ Park apabila dua gol lewat permainan memastikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus melonjakkan skuad Mikel Arteta ke tangga kedua liga.
The Gunners sebelum itu kelihatan seakan pulang tangan kosong selepas ketinggalan hasil sentuhan Nick Woltemade (m-34) dalam perlawanan yang penuh tekanan serta kegagalan menyempurnakan deretan peluang.
Namun kebangkitan menakjubkan hasil tandukan Mikel Merino (m-84) dan Gabriel (m-96) menghadiahkan tiga mata penting yang mengekalkan kelab London dalam kelompok teratas saingan.
“Kami sepenuhnya layak untuk menang. Cara kami bermain, bertarung dan mencipta peluang jelas membuktikan pasukan ini berada di landasan tepat. Ia dramatik, tetapi kemenangan ini memang selayaknya milik kami,” kata Arteta.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan keberanian dan keazaman pemain menjadi faktor utama kejayaan di Tyneside, yang dianggap medan sukar buat mana-mana pasukan setiap kali kunjungan ke laman The Magpies bimbingan Eddie Howe berkenaan.
“Untuk mara ke tahap seterusnya, anda mesti datang ke tempat seperti ini dan tunjukkan keyakinan serta keinginan yang tinggi. Malam ini, pemain melakukan semua itu,” tambahnya.
Arsenal bagaimanapun tidak terlepas daripada cabaran getir apabila beberapa percubaan berbahaya mereka digagalkan penjaga gol Newcastle, Nick Pope, manakala pada babak pertama, sepakan penalti yang pada awalnya diberikan dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Keputusan itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati bekas penolong pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkenaan.
“Kalau ia bukan kesilapan jelas, VAR tidak patut masuk campur. Itu sepatutnya penalti,” katanya tegas.
Namun, Arteta mengakui dugaan sebegitu hanya menguatkan semangat pasukannya untuk bangkit lebih garang.
“Inilah cara anda naik ke tahap berbeza. Dengan melalui detik sukar, belajar daripadanya dan buktikan siapa anda. Malam ini kami lakukan semua itu dengan cara luar biasa,” ujarnya.
Ringkasan AI
- ARSENAL mencetuskan kebangkitan luar biasa dengan menang 2-1 ke atas Newcastle United
- Dua gol lewat permainan daripada Mikel Merino dan Gabriel menghadiahkan tiga mata penting
- Kemenangan tersebut melonjakkan Arsenal ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris
- Mikel Arteta mengakui keberanian dan keazaman pemain sebagai faktor utama kemenangan
- Terdapat kontroversi apabila sepakan penalti Arsenal dibatalkan oleh VAR, namun ini membangkitkan lagi semangat pasukan