KUALA LUMPUR: Berpuasa sunat di hari Arafah merupakan satu peluang kepada umat Islam untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz sehubungan itu mengajak umat Islam meningkatkan amal ibadah dengan berpuasa sunat hari Arafah pada hari ini.
Nushi berkata, berpuasa sunat di hari Arafah merupakan satu peluang kepada umat Islam untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Hari ini adalah hari Arafah, hari yang penuh barakah dan keistimewaan. Tahukah anda, ganjaran ibadah pada hari Arafah adalah setanding dengan ganjaran Lailatul Qadar?
“Malangnya, ramai di kalangan kita belum mengejar kebaikannya seperti mana kita berusaha untuk Lailatul Qadar.
“Bayangkan, berpuasa dalam satu hari sahaja, Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nushi berkata, doa yang dipohon oleh umat Islam juga akan diangkat dan dikabulkan oleh Allah SWT, dan ia sangat mustajab.
Tambah beliau, apa sahaja kebaikan yang dilakukan akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda.
“Jangan lepaskan peluang ini. Jika Lailatul Qadar menjadi buruan kita pada bulan Ramadan, maka Arafah adalah hari yang kita perlu kejar sebelum tibanya Hari Raya Aidiladha.
“Marilah kita sama-sama berpuasa sunat Arafah dan berazam meningkatkan amal ibadah hari ini. Mungkin sahaja, ia akan menjadi penentu syurga neraka kita. Wallahu’alam.
“Sebarkan kebaikan ini kepada keluarga dan rakan-rakan, bersama kita meraih rahmat dan keberkatan hari Arafah,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, beliau turut mengucapkan selamat menghayati falsafah ibadah haji, korban dan keutamaan 10 awal Zulhijjah. – HARAKAHDAILY 16/6/2024