‘Kebetulan’ di pasar malam bawa Putera Arsyad ke podium Sukma

‘Kebetulan’ di pasar malam bawa Putera Arsyad ke podium Sukma


TIADA siapa menduga hanya satu pertemuan secara kebetulan di pasar malam telah membawa atlet taekwondo Pahang, Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan ke tangga pertama podium Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Berketinggian luar biasa pada usia 14 tahun telah memikat hati jurulatih taekwondo dari Thailand, Kongpol Khoomkrong yang tidak sengaja melihat kelibat Putera Arsyad di sebuah pasar malam di Kuantan, Pahang.

Putera Arsyad yang kini berusia 18 tahun dengan memiliki ketinggian 193 sentimeter (cm) mengakui ‘jatuh cinta pandang pertama’ jurulatihnya itu telah membuka jalan untuknya memulakan latihan secara serius dan mengasah taringnya dalam sukan tempur itu.

“Saya ceburi taekwondo secara serius ketika di Tingkatan Dua, (sebelum itu) saya main seawal usia enam tahun tapi tak minat. Kemudian ketika saya 14 tahun sewaktu jalan-jalan di pasar malam, ada seorang jurulatih dari Thailand tiba-tiba datang kepada saya dan ajak berborak.

“Pada waktu itu saya tak faham apa dia cakap (kekangan komunikasi) tetapi saya tahu dia ajak cuba sukan taekwondo. Sejak (pertemuan) itu tiba-tiba saya sampai ke sini, saya memang tak sangka,” katanya ketika ditemui di Stadium Perpaduan di sini.

Pada aksi penentuan pingat emas yang berlangsung sengit, kelebihan berkaki panjang digunakan sepenuhnya Putera Arsyad untuk mengutip seberapa banyak mata, menundukkan atlet tuan rumah Joseph Wong Shou Ho dengan keputusan 2-1.

Kongpol turut menegaskan azamnya untuk terus mengasah potensi Putera Arsyad dengan harapan menjadikannya seorang atlet taekwondo terbaik dunia.

“Perancangan saya untuknya, langkah pertama ialah Sukan SEA diikuti Sukan Asia, Kejohanan Asia, Kejohanan Dunia dan paling utama Sukan Olimpik kerana dia bagus dari segi fizikal tapi perlu ada lebih banyak pengalaman untuk maju.

“Saya yakin 100 peratus dia akan jadi atlet utama dunia, dia sudah sedia. Dia tinggi, mempunyai fizikal yang baik, sokongan keluarga, semuanya telah tersedia untuknya,” katanya.

Semalam, kelebihan berkaki panjang memberi tuah kepada Putera Arsyad selepas menyambar emas pertama Pahang dalam sukan taekwondo, di sini.

Joseph pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Muhammad Haziq Haikal Mohd Khalid dari Terengganu dan Muhammad Iz’aan Haziq Nor Nasrul dari Wilayah Persekutuan berkongsi gangsa. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top