am@hmetro.com.my
Kluang: “Kalau mama sudah tiada nanti, kebumikan sebelah kubur arwah ayah ya,” kata tukang masak, Widiani Afendi, 39, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, semalam.
Menurut abang mangsa, Deday, 41, adiknya berkata demikian kepada anaknya dua hari lalu dan menunjukkan perubahan sikap sejak akhir akhir ini apabila sering berkongsi perihal kematian dengan ahli keluarga.
“Sejak kebelakangan ini arwah ada cerita ketakutan menghadapi kematian termasuk berkongsi ceramah kematian di TikTok.
“Saya tak fikir apa-apa yang ganjil cuma adik ada pesan kepada anak sulungnya supaya dikuburkan di sebelah arwah suaminya yang juga seorang anggota tentera yang meninggal dunia lima tahun lalu akibat sakit jantung.
“Cuma saya ada tegurnya ketika majlis pertunangan adik lelaki kami di Muar sebelum kejadian, saya nampak mukanya berseri-seri dan saya doakan dia dapat jodoh juga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pada hari kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari majlis pertunangan di Muar yang disertai sembilan kenderaan namun hanya MPV dinaiki arwah sahaja bertukar haluan kerana mahu singgah di pasar Ayer Hitam.
“Kami guna lebuh raya untuk pulang ke Simpang Renggam. Saya dapat tahu mengenai kemalangan yang menimpanya ketika di rumah apabila ada rakan meminta datang ke rumah emak dengan segera.
“Saya bergegas pergi dan sebaik tiba saya lihat ramai ahli keluarga sudah menangis dan meraung memberitahu Widiani sudah tiada,” katanya.
Katanya, MPV berkenaan dinaiki tiga keluarga termasuk anak lelaki jiran yang juga pemandu MPV berusia 26 tahun dan ibunya 58 tahun bersama anak angkat mereka, berusia tujuh bulan.
“Dua anak lelaki saya berusia enam dan 14 tahun jadi penumpang bersama anak saudara yang juga anak lelaki arwah berusia tujuh dan 16 tahun,” katanya.
Katanya, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Wak Jabir, Benut kira-kira 11 pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan, kegembiraan dua keluarga yang baharu pulang dari Muar kerana majlis pertunangan berakhir tragedi apabila salah seorangnya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, 7.15 petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd