Barcelona: Barcelona berdepan kebimbangan menjelang aksi pembukaan La Liga selepas penyerang berbisa mereka, Robert Lewandowski mengalami kecederaan hamstring.
Kelab gergasi Catalan itu dalam satu kenyataan mengesahkan pemain antarabangsa Poland berusia 36 tahun itu mengalami masalah pada paha kiri, namun tidak menyatakan tempoh dia perlu berehat.
Akibat kecederaan itu, Lewandowski tidak akan diturunkan pada aksi persahabatan menentang Como, Ahad ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kesediaannya untuk perlawanan sulung liga menentang Mallorca pada 16 Ogos.
Musim lalu, Lewandowski meledak 42 gol dalam 52 penampilan di semua kejohanan, membantu skuad bimbingan Hansi Flick itu merangkul treble, La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd