TANJUNG MALIM – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui usahanya dalam melakukan penjimatan demi membantu rakyat miskin adakalanya tidak disenangi segelintir pihak.
Kata beliau, sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO sekitar tahun 1980an, beliau pernah menegur RISDA kerana menggunakan peruntukan jutaan ringgit untuk membina bangunan di Kuala Lumpur berbanding untuk disalurkan kepada rakyat.
Justeru Anwar mengingatkan semua pihak mengubah pandangan awal secara berstruktur supaya matlamat membantu rakyat dapat dijadikan tumpuan utama.
“Ini yang saya cuba lakukan dan kadang-kadang tidak menyenangkan segelintir pihak. Berapa banyak agensi saya sergah dan batalkan lawatan agensi-agensi yang diamanahkan untuk membantu rakyat kemudian, ambil kesempatan.
“Ada satu pesta pameran kecil di Berlin, Jerman (diadakan), berapa orang harus pergi? 68 orang (pegawai dan) harganya RM3 juta. Bayangkan RM3 juta itu dapat digunakan untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan Sambutan Hari Akademia Negara 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada Sabtu.
Antara turut hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sebelum ini Anwar dilaporkan telah membatalkan lawatan kementerian dan agensi ke pesta pameran di Berlin, Jerman yang melibatkan 68 pegawai, walaupun tiket penerbangan dan hotel telah ditempah.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu merupakan satu mesej jelas kepada semua pihak bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam sebarang tindakan yang boleh merugikan dana awam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta untuk rakyat di negara ini meneladani pandangan pemikir negara, seperti Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba dan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menyentuh soal kemiskinan Orang Melayu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemikir itu berpandangan soal kemiskinan harus dilihat daripada semua aspek khususnya punca.
“Isu milik, modal dan tanah yang disebutkan (terjadinya) kecelaruan dalam sistem pemasaran. (Contohnya) jual ikan di Pantai Remis dengan harga RM2, bawa ke Ipoh RM6, sampai di Kuala Lumpur RM12. Dan kecelaruan ini yang tidak membantu golongan miskin.
“Dalam usaha kita hendak melaksanakan projek bantu rakyat, kita pula tidak membetulkan masalah penindasan orang tengah, dan ini yang mewujudkan ketempangan dasar,” katanya lagi.
Terdahulu pada majlis, Anwar dan tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Akademia Negara Sepanjang Zaman kepada cucu Za’aba, Sharzede Salleh Askor. – MalaysiaGazette