Kecemerlangan Dhuha, pembaharuan PSM dapat pengiktirafan SAM

Kecemerlangan Dhuha, pembaharuan PSM dapat pengiktirafan SAM


PERENANG remaja sensasi negara, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) diangkat sebagai penerima Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024 yang mengiktiraf kecemerlangan sukan tanah air sepanjang tahun lalu.

Dhuha, 18, meraih Anugerah Atlet Muda Terbaik manakala PSM diumum sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dalam majlis berprestij yang akan berlangsung di Hotel Sunway Resort, di sini pada 14 Julai ini.

Pemilihan kedua-dua penerima diumum Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM 2024, Hazreen Mubarak yang menyifatkan pencapaian mereka sebagai luar biasa dan penuh impak.

“Dhuha menunjukkan kematangan luar biasa bagi seorang atlet muda, terutama apabila berjaya memadam rekod kebangsaan yang berusia puluhan tahun, selain dominasi mutlaknya di SUKMA Sarawak 2024.

“Manakala PSM pula menyerlah bukan sahaja kerana kejayaan di pentas dunia, tetapi juga keberanian mereka melakukan pembaharuan dalaman secara menyeluruh yang kini membuahkan hasil,” ujar Hazreen.

Dhuha mencuri tumpuan apabila melakar kejutan besar pada Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai, China dengan memadam rekod kebangsaan acara 1500 meter gaya bebas lelaki milik legenda renang, Jeffrey Ong yang bertahan selama 35 tahun.

Rentak cemerlang itu diteruskan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak apabila menyapu bersih enam pingat emas dan mencipta lima rekod kejohanan baharu, menjadikannya antara atlet paling menyerlah temasya.

Keupayaan konsisten, ketenangan dalam aksi kompetitif dan pencapaian luar biasa itulah yang membawa kepada pengiktirafan Dhuha sebagai Atlet Muda Terbaik.

Sumali

Sementara itu, PSM menunjukkan transformasi ketara sejak diterajui Datuk Sumali Reduan mulai 2022 dengan pelbagai pembaharuan struktur dan pentadbiran yang mula membuahkan hasil positif.

Reformasi yang dilaksanakan membolehkan PSM meraih penarafan empat bintang menerusi Penilaian Penarafan Bintang Pejabat Pesuruhjaya Sukan, satu indikator jelas kecekapan dan profesionalisme pengurusan mereka.

Pasukan kebangsaan kendalian Ahmad Jais Baharun turut menjuarai kedua-dua acara regu dan beregu dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sekali gus mengangkat semula nama Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan tradisi itu.

Justeru, PSM diangkat sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan kejayaan menyeluruh dalam aspek pentadbiran, pembangunan akar umbi dan pencapaian antarabangsa.

Hazreen berkata, pemilihan dibuat selepas penilaian teliti melibatkan kriteria prestasi, impak terhadap pembangunan sukan serta potensi masa depan.

“Anugerah SAM bukan sekadar mengiktiraf pencapaian semasa, tetapi juga semangat membina, kesungguhan membangunkan bakat dan kecekapan dalam menerajui organisasi sukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top