Kecil lagi dah jadi 'Kapla' samseng sekolah

Kecil lagi dah jadi 'Kapla' samseng sekolah


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis sedang menyiasat dakwaan kes buli dan serangan fizikal membabitkan dua murid sebuah sekolah rendah di daerah ini susulan laporan dibuat bapa kedua-dua mangsa pada 7 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan dibuat selepas pengadu mendakwa anak mereka menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu apabila mangsa perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh rakan sekelasnya.

“Keesokan harinya, adik mangsa yang turut bersekolah di sekolah sama mendakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki sama.

“Akibat kejadian itu, mangsa perempuan mengalami sakit kepala, manakala mangsa lelaki berada dalam keadaan trauma dan ketakutan,” katanya semalam.

Beliau berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan selain melakukan gangguan fizikal di dalam kelas.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek selain merakam percakapan mangsa, saksi, guru dan pihak pentadbiran sekolah.

“Pemeriksaan perubatan ke atas kedua-dua mangsa juga dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terbabit.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top