Kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku

Kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku


Joao Figueiredo (kanan) antara pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan FIFA.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam penghantaran dokumen sehingga membawa padah besar iaitu denda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara.

Kenyataan ini nyata mengejutkan banyak pihak, terutamanya peminat serta pemerhati bola sepak tempatan yang mempersoalkan bagaimana kecuaian sebesar ini boleh berlaku dalam sebuah organisasi yang sepatutnya beroperasi secara profesional.

Isu tersebut turut menimbulkan tuduhan liar bahawa negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia menjadi dalang dalam hukuman yang dijatuhkan.

Namun hakikatnya, persoalan utama tetap kembali kepada kelemahan dalaman FAM sendiri.

Kecuaian teknikal dalam pendaftaran dan penghantaran dokumen tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam era profesionalisme sukan moden. Proses sebegini biasanya mempunyai sistem semakan berganda bagi mengelakkan sebarang kesilapan.

Namun, kenyataan FAM membuka persoalan besar adakah semakan berganda benar-benar wujud? Atau tiada semakan kedua sehingga sau kegagalan sahaja sudah cukup untuk membawa bencana?

Tidak mungkin FAM selaku badan bola sepak yang pernah menguruskan beberapa permohonan pemain warisan tidak tahu kesilapan teknikal kecil boleh membawa kesan yang jauh lebih besar.

Hukuman FIFA ini bukan sahaja mencalar imej FAM, malah menjejaskan maruah Malaysia di pentas antarabangsa.

Pemain yang tidak bersalah kini berdepan sekatan panjang sehingga setahun yang merupakan satu tempoh yang boleh menjejaskan kerjaya profesional mereka.

Dalam masa yang sama, kepercayaan penyokong, keyakinan pelabur serta reputasi pasukan negara turut terancam.

Kecuaian ini harus dijadikan pengajaran paling serius buat FAM. Dalam keadaan bola sepak negara sedang membina momentum untuk kembali disegani di Asia, kegagalan pentadbiran tidak boleh dibiarkan mencalarkan usaha tersebut.

Kini tugas FAM bukan sekadar membuat rayuan, tetapi juga memulihkan keyakinan rakyat serta menjaga masa depan pemain yang menjadi mangsa kesilapan teknikal ini. Jika rayuan yang akan dibuat tidak memihak pasukan kebangsaan, apakah langkah seterusnya yang akan diambil FAM?

Badan induk bola sepak negara itu perlu mempunyai perancangan rapi atau sedia bertanggungjawab terhadap apa jua keputusan yang bakal diumumkan FIFA.

Bagi peminat pula, mereka sudah tentu berharap isu besar yang melanda ini tidak menjejaskan skuad negara ada sinar untuk Malaysia terlepas daripada hukuman berat FIFA ini. Semoga ada sinar untuk bola sepak Malaysia.

Ringkasan AI

  • PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam penghantaran dokumen sehingga membawa padah besar seperti denda FIFA dan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara
  • Tuduhan liar menyebut negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia menjadi dalang dalam hukuman tersebut
  • Kecuaian teknikal dalam pendaftaran dan penghantaran dokumen menimbulkan persoalan tentang sistem semakan FAM
  • Hukuman dari FIFA mencalar imej FAM sekaligus menjejaskan maruah Malaysia di pentas antarabangsa
  • FAM berdepan tugas memulihkan keyakinan rakyat serta menjaga masa depan pemain yang terjejas akibat kesilapan teknikal ini



Source link

OR

Scroll to Top