Kedah bangkit, catat kemenangan pertama MPFL 2025

Kedah bangkit, catat kemenangan pertama MPFL 2025


Pemain Kedah meraikan kejayaan menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan kedua MPFL 2025 di Alor Setar pada malam Sabtu.

PENDATANG baharu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2025, Kedah mempamerkan kebangkitan apabila mencatat kemenangan pertama dalam saingan selepas menewaskan Sabah 3-1 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada malam Sabtu.

Kejayaan tersebut hadir selepas skuad Hijau Kuning terpaksa menelan kekalahan 1-5 kepada Selangor pada aksi pembukaan 8 Mac lalu.

Pada perlawanan kedua ini, mereka bangkit dengan semangat baharu untuk mengutip tiga mata berharga di laman sendiri.

Sabah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Dzul Idzwanizam pada minit ke-5, namun Kedah tidak mengambil masa lama untuk kembali menguasai perlawanan.

Pemain lincah, Shamsuri Saleh menyamakan kedudukan pada minit ke-14 sebelum pemain import, Nattawat Luksanato, meledak gol kedua Kedah pada minit ke-23.

Shamsuri sekali lagi muncul wira apabila menambah jaringan pada minit ke-39, memastikan kemenangan bergaya buat pasukan tuan rumah.

Pengurus pasukan, Aizad Roslan, menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti keazaman tinggi para pemain yang enggan menyerah kalah meskipun ketinggalan di awal permainan.

“Alhamdulillah, kami berjaya bangkit selepas ketinggalan satu gol dan menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk memastikan tiga mata kekal di Alor Setar.

“Sokongan padu penyokong turut menjadi pembakar semangat buat pasukan,” katanya selepas perlawanan.

Menurutnya, kemenangan ini bukan sekadar kejayaan biasa, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk aksi-aksi seterusnya dalam MPFL 2025.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidiel Boon Abdullah, mengakui tidak menjangkakan kemenangan dengan margin selesa memandangkan Sabah hadir dengan reputasi cemerlang selepas menewaskan TOT United FC 2-0 sebelum ini.

“Fokus kami kini terarah kepada perlawanan seterusnya menentang KL City pada 22 Mac. Saya mahu pemain kekal berdisiplin dan tidak leka dengan kejayaan ini,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top