Kedah FA berjaya mengikat Melaka FC 1-1 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada perlawanan latihan pra-musim pada malam Selasa. FOTO: KFA
Kedah FA kini sedang ‘berperang’ dengan masa bagi melengkapkan pembentukan pasukan menjelang saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 yang bakal bermula awal Ogos ini, kata ketua jurulatihnya, Victor Andrag.
Tonggak skuad ‘Double Treble’ Kedah ini berkata, persiapan pasukan baharu itu memerlukan masa dan penelitian rapi, namun kekangan waktu memaksa pasukan Hijau Kuning bergerak pantas mendapatkan barisan pemain yang sesuai dengan falsafah permainan serta bajet yang diperuntukkan.
“Saya sangat teruja apabila diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk memimpin pasukan ini. Namun, saya juga sedar proses membentuk pasukan dari kosong bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan jadual yang semakin hampir,” katanya selepas Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pemain oleh KFA di Alor Setar.
Menurut Victor, gabungan pemain muda dan berpengalaman menjadi tunjang kepada strategi pembentukan skuad, selain perancangan mendapatkan pemain import yang mampu mengimbangi kekuatan pasukan dalam pelbagai posisi.
Antara tumpuan kini adalah ujian pramusim terhadap seorang penyerang import dari benua Afrika serta dua lagi pemain import bagi posisi tengah dan pertahanan.
“Kita kenal pasti seorang penyerang dari Afrika dan sedang cari dua lagi untuk melengkapkan kuota import. Ada calon yang hadir, tetapi tahap mereka masih belum meyakinkan. Kalau ada ruang, kami akan lengkapkan bahagian tersebut,” katanya.
Kedah FA dijadualkan membuka kempen liga menentang Perlis GSA FC di laman lawan pada 2 Ogos depan, menjadikan minggu-minggu terakhir ini amat penting untuk menentukan hala tuju pasukan.
“Walaupun masa amat terhad, kita akan terus menilai dan menguji pemain secara intensif agar dapat membentuk gandingan terbaik yang mampu beri cabaran dalam Liga A1 nanti,” tambahnya.
Victor turut menegaskan bahawa selain aspek teknikal dan taktikal, semangat kesukanan dan kerjasama dalam pasukan akan menjadi tunjang kekuatan Kedah FA dalam menghadapi musim pertama mereka di pentas Semi Pro.
Terbaharu, dalam perlawanan latihan pramusim menentang Melaka FC di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah FA berjaya mengikat pasukan tersebut 1-1 pada malam Selasa.