Kedah FA tidak akan ulangi sejarah lalu, yakin kemampuan penaja

Kedah FA tidak akan ulangi sejarah lalu, yakin kemampuan penaja


ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) percaya pasukan bola sepak baharu, Kedah FA tidak akan mengulangi sejarah hitam bola sepak negeri ini yang pernah berdepan isu tunggakan gaji dan kekangan kewangan.

Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din berkata, kerajaan negeri yakin dengan kemampuan penaja yang akan bersama KFA dalam menguruskan pasukan tersebut secara profesional dengan bajet yang mencukupi.

“Kita tidak mahu lagi sejarah lama berulang. Ini masa depan anak-anak kita sebagai pemain dan kita tidak mahu dunia bola sepak Kedah dilingkungi masalah hutang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan berhubung kewujudan dua pasukan dari Kedah selepas KFA menubuhkan Kedah FA, manakala satu lagi pasukan diwakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dimiliki syarikat swasta, beraksi dalam Liga Semi Pro A1 musim ini.

Turut dibangkitkan kebimbangan pasukan Kedah FA akan mengalami nasib seperti KDA FC yang dihimpit kekangan kewangan dan tunggakan gaji pemain.

Muhamad Radhi tegaskan, kedua-dua pasukan mempunyai komitmen kewangan yang berbeza memandangkan KDA FC diuruskan syarikat swasta manakala Kedah FA di bawah kerajaan negeri.

“Kita harap bukan sahaja Kedah FA tidak ulangi sejarah lama dan juga harap KDA FC tidak lagi dibelenggu isu lama tidak bayar gaji.

“Sumber kewangan masing-masing akan ada, isu ini tak timbul lagi sama ada di peringkat KDA FC atau KFA.

“Saya harap kedua-dua pasukan akan bersaing secara sihat dan profesional di peringkat Liga A1, Insya-ALLAH kedua-dua pasukan akan menjadi platform untuk naikkan nama negeri Kedah dalam dunia bola sepak,” katanya.

Muhamad Radhi memaklumkan, sudah ada beberapa penaja berminat untuk bersama KFA, namun pengumuman mengenainya akan dilakukan oleh Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah.

“Secara dasarnya ada penaja nyatakan minat dengan bajet yang mencukupi untuk urus pasukan Kedah FA, sebab kita tak mahu lagi sejarah lama berulang.

“Kita harapkan kehadiran penaja ini dapat membawa pasukan Kedah ke era lebih besar,” katanya.

Menurutnya lagi, kehadiran dua pasukan dari Kedah tidak akan memecahbelahkan sokongan penyokong bola sepak negeri ini, sebaliknya menjadi perangsang untuk pasukan beraksi lebih baik selain meningkatkan lagi semangat penyokong.

“Saya rasa tak timbul isu sokongan penyokong berpecah bila ada dua pasukan dari Kedah.

“Sokonglah kedua-duanya kerana mereka membawa nama Kedah. Kalau satu pasukan kecundang, kita masih ada satu lagi pasukan untuk disokong.

“Dulu kita tengok satu pasukan sahaja, sekarang akan banyak lagi perlawanan membabitkan pasukan Kedah. Ini akan membawa imej Kedah, walaupun KDA FC itu syarikat, tetapi mereka membawa nama negeri,” ujarnya.

Muhamad Radhi memaklumkan, KFA telah melantik Victor Andrag sebagai ketua jurulatih Kedah FA berikutan komitmen, pengalaman serta rekod cemerlang beliau bersama pasukan negeri sebelum ini.

“Victor sedang menghimpunkan pemain-pemain yang majoritinya pemain baharu, selain ada yang pernah beraksi bersama Kedah musim lalu dan juga bakat dari luar yang kita rasakan sesuai, ia masih di peringkat pemilihan,” katanya.

Senarai penuh pemain akan diumumkan oleh Presiden KFA kemungkinan seminggu sebelum pelancaran jersi dan pasukan yang dijangka diadakan pertengahan Julai ini.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top