Kedah ingatkan majikan bayar gaji menjelang Aidilfitri

Kedah ingatkan majikan bayar gaji menjelang Aidilfitri


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengingatkan semua majikan di negeri ini untuk memandang serius soal gaji dengan pembayaran kepada pekerja agar tidak ditangguhkan terutama menjelang kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia negeri, Wong Chia Zhen berkata, sebarang kelewatan atau penangguhan dalam pembayaran gaji akan dianggap serius dan tidak akan dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

Justeru, beliau memaklumkan insiden pertelingkahan membabitkan sekumpulan pekerja dan penyelia sebuah kilang di Jabi, Pokok Sena kelmarin akibat masalah gaji kini sedang disiasat oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Kedah.

“Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian ini, saya telah turun ke lokasi bersama JTK Negeri Kedah untuk memahami situasi sebenar dan mendapatkan maklumat terperinci berkenaan punca kejadian.

“Siasatan oleh JTK dilakukan di bawah Akta Kerja 1955 berkenaan kelewatan pembayaran gaji pekerja dan memastikan gaji dibayar dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang itu hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan sekumpulan pekerja asing menyerang dua penyelia mereka dipercayai berpunca daripada pembayaran gaji yang lewat melalui pengumuman sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.05 tengah hari dan turut tular di media sosial apabila rakaman video berdurasi 1 minit 11 saat memaparkan kekecohan dalam kalangan pekerja asing dari Bangladesh dan Nepal di kilang itu.

Pertelingkahan antara pekerja dan dua penyelia kilang tersebut akhirnya bertukar menjadi insiden tolak-menolak sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada tiga individu.

Sementara itu menurut Chia Zhen, pihak syarikat turut menyatakan komitmen penuh untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan tersebut.

“Saya juga dimaklumkan bahawa tiga pekerja yang terlibat dalam insiden tersebut telah kembali bekerja dan pengoperasian kilang berjalan seperti biasa. Saya mewakili Kerajaan Negeri Kedah ingin menyatakan keprihatinan kami terhadap kebajikan pekerja di seluruh negeri.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua majikan bahawa dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, adalah penting untuk memastikan pembayaran gaji pekerja tidak ditangguhkan,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top