Kedah berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi kumpulan C pada malam Ahad. FOTO PBMK
PERSATUAN Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) berjaya mara ke suku akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) Edisi ke-103 selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi kumpulan C pada malam Ahad.
Kejayaan ini menamatkan kemarau panjang Kedah yang sebelum ini gagal melepasi peringkat kumpulan sejak tahun 2019, sekali gus menyuntik semangat baharu buat barisan pemain dan penyokong.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), gol tunggal perlawanan dijaringkan kapten pasukan, Fareez Fadhil menerusi tandukan pada minit ke-58.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Kedah selepas menundukkan Kuala Lumpur 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan pada 10 Oktober lalu di gelanggang yang sama.
Dengan kutipan enam mata maksimum, pasukan itu kini mendahului kumpulan C dan mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Tujuh lagi pasukan yang mengesahkan tempat ke suku akhir ialah Pulau Pinang, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Kuala Lumpur, Terengganu dan Selangor.
Kedah dijadualkan bertemu Selangor dalam aksi suku akhir dua peringkat yang akan berlangsung pada 18 dan 25 Oktober ini di Stadium MPKP, Jitra.
Ringkasan AI
- PERSATUAN Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) mara ke suku akhir Piala Emas Raja-Raja selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0
- Kemenangan ini mengakhiri kemarau Kedah yang gagal melepasi peringkat kumpulan sejak tahun 2019
- Gol tunggal perlawanan dijaringkan kapten pasukan, Fareez Fadhil melalui tandukan pada minit ke-58
- Kemenangan kedua untuk Kedah setelah menundukkan Kuala Lumpur 1-0 di aksi pembukaan kumpulan
- Kedah akan bertemu Selangor dalam suku akhir pada 18 dan 25 Oktober di Stadium MPKP, Jitra