sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Skuad Kedah FA meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Manjung City FC 2-0 pada aksi saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad kendalian ketua jurulatih, Victor Andrag selepas memungut tiga mata penuh menewaskan Kelantan Red Warrior FC 1-0 dan Malaysian University 3-1 sebelum ini.
Pada aksi di laman sendiri, Kedah berjaya membuka tirai jaringan melalui Aqil Irfanuddin seawal minit ke-14 selepas memanfaatkan peluang di depan pintu gol.
Kedah terus bersemangat dengan menambah gol kedua melalui pemain sayap Rahmat Makasuf pada minit ke-30 menewaskan penjaga gol Manjung City, Nasrullah Abdul Aziz.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan dengan Kedah kini melonjak dari tangga ketujuh ke tangga kedua dengan mengumpul 11 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd





