Perbuatan fitnah-memfitnah boleh dikatakan banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Riwayat Muslim)
Fitnah di sini diertikan sebagai sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain; menokok tambah keaiban dan kelemahan orang; dan memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan, tulisan seperti surat layang, mesej, emel dan laman web; dan melalui foto atau video yang telah dipalsukan dengan menggunakan teknologi moden kini seperti Artificial Intelligence (AI).
Dalam Islam fitnah adalah salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang keras oleh Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 191) Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina; yang banyak mencela; yang gemar menyebarkan fitnah.” (Surah al-Qalam, ayat 29)
Disebabkan terlalu banyak perkara palsu dan pembohongan dalam fitnah itu, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan dirinya supaya tidak diketahui orang kerana ia tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatannya itu adalah palsu belaka.
Pembuat fitnah tidak berjaya jika tidak dibantu oleh orang yang menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Riwayat al-Bukhari)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar-penyebar fitnah.” (Riwayat al-Tabrani)
Lazimnya perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong oleh perasaan tamak, irihati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan (harta-benda) melebihi kepentingan agama.
Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Jika membunuh hanya melibatkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah itu boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam jangka masa yang panjang yang sukar untuk disekat. Hal ini kerana orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya telah mula hilang, ia akan menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah memfitnah ini.
Sebenarnya untuk menilai kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran telah meletakkan satu garis panduan. Ada beberapa ayat al-Quran yang dapat dijadikan panduan dalam perkara ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Dalam ayat ini, Allah telah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada semua umat Islam agar menyelidiki terlebih dulu terhadap segala berita yang disampaikan oleh orang-orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui media-media cetak atau elektronik.
Seseorang Mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Hal ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.
Maksudnya, kerana sikap terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita yang disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penginayaan dan kezaliman.
Selain itu, terdapat beberapa tip menghadapi fitnah. Abu Layth al-Samarqandiy berkata: “Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang diftnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang; dan yang keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapun segala fitnah yang disebarkan itu.”
Justeru, kita juga patut beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah tersebut, jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita wajib menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa-bangsa lain.
Perbuatan memfitnah ini jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari daripada berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan ia akan terus melekat di hati seseorang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam, manakala hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua. Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Riwayat Muslim)
Sebenarnya ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia itu dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat. Diriwayatkan daripada Huzaifah RA katanya: “Saidina Umar RA pernah bertanya kepadaku ketika aku bersamanya. Katanya: “Siapakah antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan tentang fitnah? Para Sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya. Saidina Umar RA bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab: Ya, benar. Saidina Umar RA berkata: Fitnah tersebut boleh dihapuskan oleh solat, puasa dan zakat.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, kita perlulah sentiasa beringat bahawa setiap perkataan yang diucapkan, semuanya akan ditulis dan dipertanggungjawabkan. Sebab itu, kalau tidak mampu untuk mengucapkan perkataan yang baik, maka lebih baik diam. Dengan memelihara lidah daripada memfitnah, kita dapat membina sebuah masyarakat yang harmoni seterusnya akan terselamat sama ada di dunia mahupun akhirat.
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd






