Kuala Lumpur: Kedutaan Jerman di sini menganjurkan majlis resepsi untuk skuad olahraga kebangsaan negara itu yang sedang menjalani latihan di Malaysia sebagai persiapan menjelang Kejohanan Olahraga Lari Berganti-Ganti Dunia 2025 di Guangzhou, China hujung minggu ini.
Majlis yang berlangsung di sini hari ini itu dihadiri Duta Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer, Ketua Pengarah Persatuan Olahraga Jerman Cheick-Idriss Gonschinska, ketua jurulatih skuad pecut kebangsaan Jerman Julian Reus serta atlet dan pegawai terlibat.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Mark Ling dan beberapa atlet olahraga kebangsaan.
Bercakap pada sidang media, Blomeyer berkata skuad olahraga Jerman menjalani latihan di sini selama tiga minggu sebagai persediaan untuk kejohanan di China, yang juga menjadi pentas kelayakan ke Sukan Olimpik 2028.
“Jadi, ini adalah peluang untuk kami membawa pasukan olahraga Jerman ke Malaysia, seterusnya bertemu serta berlatih bersama atlet Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, peluang terbabit dengan atlet bertaraf dunia seperti pasukan olahraga Jerman akan memberi pendedahan yang berharga kepada atlet skuad elit dan pembangunan negara.
“Sebarang bentuk keterlibatan adalah baik kerana kami mahu atlet negara diberi pendedahan bersama atlet-atlet dunia lain,” katanya.
Skuad olahraga Jerman terdiri daripada 50 orang termasuk staf kejurulatihan yang tiba secara berperingkat mulai 17 April, dijadualkan berlepas ke China pada Khamis.
Kejohanan Olahraga Lari Berganti-Ganti Dunia 2025 dijadual berlangsung selama dua hari bermula 10 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd