safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi, mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi.
Sejak penahanannya, pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, memberikan bantuan konsular kepada warga Malaysia terbabit yang dipercayai adalah seorang pelawak popular.
Pihak Kedutaan Malaysia di Riyadh ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan terbabit namun tidak memberikan butiran terperinci identiti individu yang ditahan.
“Atas pelbagai faktor, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, kesal kerana tidak dapat memberikan butiran lain perkara itu,” katanya.
Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini, memaklumkan seorang pelawak popular dilaporkan ditahan di Jeddah kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah, baru-baru ini.
Pelawak itu dipercayai ditahan dua bulan lalu di Lapangan Terbang Jeddah dan masih berada dalam tahanan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Bagaimanapun, pelawak berkenaan dilihat masih aktif dalam media sosial dengan beberapa hantaran baharu dimuat naik, namun kandungan itu dipercayai diuruskan oleh pasukan pengurusannya.
Malah, pelawak berkenaan dikatakan bakal muncul dalam satu program televisyen yang dirakam lebih awal sebelum insiden penahanan berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd