sukan@hmetro.com.my
Melaka: DPMM FC mengutip kemenangan pertama di pentas Liga Super selepas menewaskan Melaka FC (MFC) 1-0 pada aksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.
Kemenangan jelas memberi kelegaan kepada skuad dari Brunei itu yang sebelum ini masih buntu meraih kemenangan liga.
Malah mata maksimum berkenaan membolehkan mereka melonjak kedudukan mereka dari dasar liga sebelum ini untuk mengumpul empat mata termasuk mengatasi MFC yang meraih tiga mata setakat ini.
MFC seharusnya mencipta gol pembukaan perlawanan lebih awal, namun percubaan Azim Rahim sekadar terkena tiang gol DPMM pada minit ke-18.
Azim kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24 selepas dia dijatuhkan pertahanan DPMM, Muhammad Fairuz Zakaria dan sepakannya ditepis penjaga gol pelawat, Muhammad Hanif Hamir.
Pemilik merangkap Presiden MFC, Datuk Nur Azmi Ahmad sebelum ini kecewa dengan prestasi dipamerkan pasukan itu menyaksikan hanya dua pemain import diturunkan pada babak pertama bagi memberi peluang kepada pemain tempatan.
Namun, usaha gigih mereka tercalar selepas DPMM FC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 yang disempurnakan pemain import, Jordan Murray menjadikan kedudukan 1-0.
Penguasaan 45 minit babak pertama oleh tuan rumah gagal dimanfaatkan dengan jaringan.
Pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-62, namun rembatan kencang pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad diselamatkan penjaga gol MFC, Muhammad Haziq Aiman.
MFC sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67, apabila sepakan pemain gantian, Danilo Augusto sekali lagi diselamatkan Hanif.
© New Straits Times Press (M) Bhd






