Kegemilangan sistem ekonomi Uthmaniyah

Kegemilangan sistem ekonomi Uthmaniyah


KITA sering mendengar kehebatan empayar Uthmaniyah dari sudut ketenteraan, peluasan wilayah hinggalah tokoh-tokoh penggeraknya seperti Sultan Muhammad Al-Fatih.

Namun, di sebalik kekuatan ketenteraan dan keluasan empayarnya itu, tersimpan sebuah kehebatan besar yang jarang dibincangkan secara mendalam iaitu sistem ekonomi Uthmaniyah yang juga sistem ekonomi Islam.

Pakar Ilmu Hadis dan anggota Ikatan Ulama Syam, Syeikh Muhammad Wael Al-Hanbali menjelaskan, sistem ekonomi Uthmaniyah bukan sekadar catatan sejarah, tetapi warisan intelektual Islam yang wajar dijadikan rujukan dalam membina kekuatan ekonomi umat pada masa kini.

Dalam ucapan pembukaannya, beliau menekankan bahawa perbincangan mengenai khilafah Uthmaniyah bukanlah perbahasan mengenai bangsa, nasab atau bahasa, tetapi ia berkait dengan sesuatu yang jauh lebih besar iaitu Islam.

“Hubungan umat Islam dengan tamadun Uthmaniyah merupakan hubungan akidah dan persaudaraan, bukan hubungan etnik.

“Inilah ikatan yang menetapkan sebuah empayar yang menghimpunkan pelbagai bangsa, bahasa dan agama – dari hujung Iraq hingga ke Semenanjung Arab, dari Eropah hingga ke Mesir – berdiri megah selama lebih 600 tahun.

“Seluruh kekuatan dunia selama beradab-abad berusaha meruntuhkan ikatan ini kerana kesatuan Islam merupakan kuasa yang paling sukar ditandingi,” katanya.

SYEIKH MUHAMMAD WAEL

Beliau berkata demikian pada forum Road to World Quran Convention bertajuk Formula kejayaan dan kejatuhan pembinaan wilayah khilafah Uthmaniyah di Studio MQT, Shah Alam baru-baru ini, yang diterjemahkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Shafiq Salimi.

Menurut Syeikh Muhammad Wael, dengan asas dan ikatan berdasarkan Islam inilah sistem ekonomi Uthmaniyah dibangunkan.

“Ia bukan sistem yang lahir secara rawak, tetapi dibina berdasarkan kefahaman terhadap syariat, keadilan, kepakaran dan pengurusan yang tersusun,” jelasnya.

Beliau kemudiannya membahagikan sistem ekonomi Uthmaniyah kepada lima rukun utama menurut hasil penelitiannya:

1 – Sistem pengurusan.

2 – Undang-undang dan perlembagaan ekonomi.

3 – Percetakan mata wang dan kawal selia pasaran.

4 – Sektor perindustrian, pertanian dan perniagaan.

5 – Sistem wakaf Islam.

PETA lama menunjukkan kekuasaan Uthmaniyah seluas 23 juta persegi. Foto Canva

PETA lama menunjukkan kekuasaan Uthmaniyah seluas 23 juta persegi. Foto Canva

Tambah beliau, kelima-lima rukun inilah yang membangunkan tulang belakang ekonomi empayar yang satu ketika dahulu mengusai dua pertiga dunia.

1 – Sistem pengurusan: Ketepatan organisasi mendahului Barat

Menurut Syeikh Muhammad Wael, mana-mana sarjana ekonomi atau pengurusan, termasuk dari Barat, akan mengakui bahawa empayar Uthmaniyah merupakan antara kuasa terawal yang memiliki sistem pembahagian wilayah yang tersusun dan sistematik.

Dalam Uthmaniyyah, ujarnya, wilayah dibahagi mengikut hierarki iaitu wilayah, sanjak, qada’, nahiyah dan qaryah.

“Setiap peringkat mempunyai pegawai tersendiri yang bertanggungjawab menguruskannya.

“Kehebatan pengurusan ini menjadi model rujukan dunia, bahkan sarjana Sweden pernah menulis buku khusus mengkaji struktur pentadbiran Uthmaniyah.

“Malah apa yang menakjubkan ialah empayar yang merentasi 23 juta kilometer persegi itu dapat diuruskan dengan baik meskipun warganya pelbagai dari segi agama, bangsa dan bahasa,” jelasnya.

Prinsip terpenting dalam pengurusan Uthmaniyah ialah hak, ujarnya.

“Siapa yang berhak, dialah yang menerima hak tersebut tanpa mengira agama atau etnik. Ini kerana tujuan sistem ialah untuk memastikan setiap individu mendapat keadilan yang merupakan asas utama ekonomi Islam.

SYEIKH Muhammad Wael (kanan) bersama penterjemah, Dr Mohd Shafiq Sahimi. Foto Canva

SYEIKH Muhammad Wael (kanan) bersama penterjemah, Dr Mohd Shafiq Sahimi. Foto Canva

“Pada peringkat pusat, kementerian yang menguruskan ekonomi disebut Daftar Dar, sebuah institusi yang berhubung secara langsung dengan khalifah dan struktur seperti ini tidak pernah wujud sebelum Uthmaniyyah,” hurainya.

2 – Undang-undang: Syariat sebagai perlembagaan ekonomi

Setiap negara memiliki perlembagaan dan undang-undangnya tersendiri. Maka, bagaimana Uthmaniyyah menetapkan undang-undang ekonomi mereka?

Syeikh Muhammad Wael menjelaskan, setiap undang-undang ekonomi Uthmaniyah berpaksikan syariat Islam.

“Seluruh enakmen berkaitan harta, transaksi jual beli, pertikaian komersial dan pengurusan pasaran dicatatkan dan dilaksanakan dengan penuh adil.

“Pada akhir pemerintahan, muncul satu pembaharuan penting iaitu pembentukan akta moden berdasarkan syariat.

“Syariat tidak hanya diambil dari kitab fiqh dan diterjemahkan secara literal, tetapi ditransformasikan menjadi klausa undang-undang moden,” ujarnya.

Inilah transformasi undang-undang Islam paling besar dalam sejarah moden, katanya.

Bagaimanapun menurut Syeikh, hari ini dunia Islam kehilangan perlembagaan berasaskan syariat dalam sistem ekonomi setelah kejatuhan Uthmaniyah pada 1924, yang merupakan satu kehilangan besar yang perlu diperjuangkan kembali.

3 – Sistem pengurusan harta: Kawal selia pasaran yang teliti

Dalam Uthmaniyyah, terdapat dua badan penting yang menjaga kestabilan pasaran dan kawal selia industri:

I – Badistan

Menurut Syeikh Muhammad Wael, antara peranan Badistan termasuk memantau harga pasaran, menjaga kualiti barangan, mengeluarkan lesen perniagaan dan mengawasi barang mewah seperti emas, wangian dan barangan premium.

SALAH satu syiling pada zaman Uthmaniyah. Foto Canva

SALAH satu syiling pada zaman Uthmaniyah. Foto Canva

“Badistan berfungsi memastikan pasaran tidak dieksploitasi dan pengguna dilindungi,” katanya.

II – Syeikh al-Kar

Badan ini mengurus kepakaran industri dan memiliki empat fungsi utama iaitu menyusun industri agar berjalan lancar, menyelesai perselisihan antara pembeli dan penjual, memastikan kualiti produk yang dikeluarkan serta mengurus barang terpakai seperti kereta atau perabot.

“Apa yang uniknya, ketua unit dalam Syeikh al-Kar tidak semestinya seorang Muslim. Jika seorang bukan Islam mempunyai kepakaran tinggi dalam besi, kayu atau pertanian, dialah yang akan mengetuai unit tersebut.

“Ini membuktikan bahawa meritokrasi dan profesionalisme menjadi prinsip utama Uthmaniyah, suatu nilai yang diulang oleh negara maju pada hari ini,” jelasnya.

4 – Percetakan mata wang

Syeikh Muhammad Wael menegaskan realiti yang pahit iaitu selagi dunia bergantung kepada dolar Amerika Syarikat dan pasaran saham global, selagi itu negara-negara Islam tidak akan mampu keluar daripada cengkaman kuasa besar.

“Ekonomi ribawi moden menjadikan keuntungan hanya memihak kepada satu pihak dan negara kecil terpaksa mengikut telunjuk sistem itu.

“Sebaliknya, ekonomi Islam pula berasaskan perkongsian, tolong-menolong dan perniagaan yang sebenar,” jelasnya.

Tambahnya, Uthmaniyah membuktikan keutuhan sistemnya apabila mencetak mata wang sendiri sejak era Sultan Orkhan dan ia digunakan secara meluas dalam dunia Islam pada ketika itu.

Syeikh Muhammad Wael turut mengingatkan idea tokoh Malaysia, Dr Mahathir Mohamad mengenai penggunaan dinar emas dalam perdagangan antara negara Islam.

MASJID Hagia Sophia masih berdiri teguh sehingga ke hari ini. Foto Canva

MASJID Hagia Sophia masih berdiri teguh sehingga ke hari ini. Foto Canva

Idea tersebut kemudiannya disambung Najib Al-Barkani, namun cadangan ini ditolak negara-negara Islam sendiri dan akibatnya, umat terus bergantung kepada sistem kewangan berasaskan dolar yang menurutnya telah ‘dizioniskan’.

5. Sistem wakaf: Rahsia kebajikan yang tiada tandingan

Inilah rahsia terakhir yang menjadi keunikan ekonomi Islam dan menurut Syeikh Muhammad Wael, ia tidak pernah diketahui Barat sebelum ini.

Sistem wakaf Uthmaniyyah begitu besar sehingga dapat membiayai sekolah, membina hospital, menyediakan bantuan kepada fakir miskin, menyara pelajar dan menjaga kebajikan masyarakat.

“Institusi wakaf menjadi enjin kebajikan yang melengkapkan sistem ekonomi Uthmaniyyah, menjadikannya sistem yang bukan sahaja kaya, tetapi rahmah,” katanya.

Ujarnya, sistem ekonomi Uthmaniyah bukan sekadar sejarah, bahkan ia merupakan peta jalan untuk umat Islam memahami kembali kekuatan sebenar sistem ekonomi Islam.

Sistem ekonomi Uthmaniyah berjaya kerana mereka:

1 – Mengurus dengan sistematik.

2 – Melaksanakan undang-undang berasaskan syariat.

3 – Menguasai mata wang sendiri.

4 – Menghidupkan industri dan pertanian.

5 – Mengukuhkan ekonomi melalui wakaf.



Source link

OR

Scroll to Top