rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak melihat kehadiran bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengundang resah buat pasukannya yang melayan kunjungan Ulsan HD FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Bagaimanapun, Bidoglio akui kelab dari Korea Selatan itu adalah pasukan yang tidak kurang hebatnya apabila berjaya menjuarai takhta Liga K1 Korea (Liga K1) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022 dan pastinya reputasi mereka tampak berada di tahap tertinggi.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, skuad Harimau Selatan telah membuat persiapan rapi menjelang pertemuan itu untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman tatkala memberi tumpuan memperkemas barisan pemain.
“Kita menjangkakan satu pertembungan yang sengit pada malam esok, bagaimanapun kita tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mendapatkan kemenangan apabila beraksi di stadium keramat kita sendiri.
“Walaupun Pan-gon mengenali ramai pemain JDT, itu tidak bermakna ia memberi kelebihan buat pasukannya. Apapun, kita akan fokus pada aksi pasukan malah semua pemain berada dalam keadaan baik dan siap sedia untuk diturunkan selain tiada pemain yang berdepan penggantungan permainan.
“Setakat ini dalam saingan ACLE, pemain telah menunjukkan persembahan terbaik mereka, dan pada perlawanan ini kita akan cuba mendominasi permainan dengan corak permainan yang dinamik seterusnya menekan pihak lawan untuk memperoleh kemenangan,” katanya
Selepas mengharungi saingan ACLE, JDT ketika ini menghuni kedudukan kelima Kumpulan Zon Timur apabila mengutip empat mata dengan satu kemenangan, satu seri dan tewas satu perlawanan ketika ini.
Pengendali berusia 56 tahun itu menambah, saingan ACLE adalah pentas untuk JDT menunjukkan potensi mereka berdepan kelab elit di rantau Asia ini dan dalam permainan bolasepak tiada istilah mustahil jika apa yang dirancang mampu diterjemahkan dengan kejayaan.
“JDT juga kelab yang besar dan kita perlu terus berkembang saban tahun untuk meletakkan nama JDT di peta Asia, kita mempunyai ramai pemain yang bagus-bagus untuk buktikan potensi kita dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, bek tengah JDT, Jordi Amat berharap penyokong dapat membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan kepada pasukan untuk meraih kemenangan malah dia juga sufah bersedia untuk diturunkan selepas pulih daripada kecederaan ketika mewakili Indonesia, baru-baru ini.
Katanya, dalam situasi ketika ini, pasukan pelawat tampak akan bermain agresif bagi memburu mata pertama mereka dalam kejohanan ini dan menganggap kehadiran penyokong JDT juga bagaikan pencetus semangat dan `pelindung’ kepada kesebelasan pemain.
“Ulsan HD FC boleh dilabel satu pasukan yang terbaik di Korea dan kami menghormati mereka dan ia akan menjadi perlawanan yang cukup mencabar bagi kami kerana mereka tampak bergelut untuk kembali bersaing dalam saingan ACLE.
“Apapun, kami tidak melihat kedudukan mereka di tangga bawah saingan Zon Timur, sebaliknya kami mahu fokus terhadap aksi malam esok dan ia akan menjadi perlawanan sukar tapi kami percaya akan menang pada aksi nanti malah akan tampil dengan permainan yang berkualiti,” kata Jordi Amat.
© New Straits Times Press (M) Bhd