Kehadiran semula trio tonggak tambah sengat Harimau Malaya

Kehadiran semula trio tonggak tambah sengat Harimau Malaya



firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehadiran semula beberapa tonggak yang tidak bersama pasukan sebelum ini babitkan Natxo Insa, Dion Cools dan Sergio Aguero bakal menambah sengat skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu kemenangan ke atas Laos dan India.

Perkara itu diluahkan penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue yang menganggap kehadiran trio berkenaan cukup penting dalam dua aksi persahabatan Tier 1 itu yang dijadual berlangsung di Stadium PAT, Bangkok, Thailand menentang Laos Khamis ini dan menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India 18 November depan.

“Bagi saya, kembalinya Natxo dalam pasukan akan beri kekuatan tambahan khususnya di bahagian tengah di mana prestasinya bersama JDT (Johor Darul Ta’zim) cukup baik.

“Saya juga melihat kehadiran semula ketua pasukan iaitu Cools akan keyakinan pasukan di mana dia beraksi amat baik di bahagian pertahanan untuk pasukan negara.

“Begitu juga Sergio yang pernah bersama pasukan sebelum ini yang beraksi sebagai penyerang. Ini akan memberi jurulatih pilihan untuk memilih pemain terbaik untuk diturunkan nanti.

“Kita sedar dua perlawanan itu untuk memberi kita rangsangan dan motivasi selain memperbaiki kedudukan ranking kita nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, kali terakhir Natxo bersama pasukan kebangsaan adalah pada saingan Piala Asia di Qatar Januari lalu, manakala Sergio dipanggil ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Taiwan pada Jun lalu.

Cools pula tidak menyertai pasukan pada aksi persahabatan Tier 1 bertemu New Zealand bulan lalu atas urusan peribadi.

Mengulas mengenai peluang skuad negara, Josue yang juga pemain Kuala Lumpur City FC akui skuad kendalian Pau Marti Vicente memiliki ramuan terbaik untuk meraih kemenangan dalam kedua-dua aksi persahabatan itu.

“Kita pernah menentang India tahun lalu (dalam Pestabola Merdeka 2023) dan menang ke atas mereka di Bukit Jalil. Kali ini kita beraksi di tempat mereka dan saya fikir peluang tetap ada untuk mencatat kemenangan.

“Begitu juga dengan Laos, saya fikir kita mampu mencipta kemenangan di Bangkok nanti. Saya percaya barisan kali ini mampu menghadirkan keputusan positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top