PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mahu tempoh khidmat bersama The Reds dinilai berdasarkan gaya dan nilai dijelmakan pasukan dari Merseyside tersebut.
Namun bekas pengendali kelab liga Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam itu akur sekiranya talian hayat di Stadium Anfield ditentukan jumlah trofi kejuaraan.
Pengendali kelahiran Belanda itu berharap memulakan era baharu bersama Liverpool dengan mengatasi Tottenham Hotspur bagi menempah slot ke Wembley.
“Kehidupan ini bukan hanya mengenai memenangi trofi. Saya perlu mencari sesuatu yang dikatakan Jürgen Klopp sebelum ini. Ia sangat penting ketika penyokong meninggalkan stadium, mereka akan berfikir sejenak ‘Bilakah mereka bermain lagi?’
“Saya sangat menyukai ayat itu kerana saya suka kami sebagai pengurus dinilai lebih daripada hanya trofi. Bagaimana mereka bermain? Adakah senang menonton mereka? Adakah peminat sudah menantikan perlawanan seterusnya?
“Saya bersetuju Liverpool lebih banyak dinilai berdasarkan trofi yang kami menangi, tetapi saya menilai diri saya dan pemain berdasarkan kadar kerja dan kualiti mereka bawa dalam setiap perlawanan,” katanya.
Anak buah Slot berpeluang melangkah ke pentas perlawanan akhir Piala Liga sekiranya berjaya menterbalikkan keputusan 1-0 berdepan Tottenham semasa aksi separuh akhir pertama lalu.
Sebagai rekod, Liverpool merupakan penyandang juara selepas menewaskan Chelsea, 1-0 dalam masa tambahan perlawanan akhir.
PIALA LIGA
Separuh Akhir Kedua
Liverpool (0) lwn (1) Tottenham Hotspur
(Stadium Anfield, 4 pagi)
* Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama