am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang doktor kerugian RM888,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan sehingga 500 peratus.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki 44 tahun itu dilaporkan menyertai pelaburan saham terbabit selepas melihat iklan di Facebook pada 18 September tahun lalu.
Katanya, mangsa kemudiannya berurusan dengan suspek melalui WhatsApp sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan di aplikasi itu.
“Suspek menawarkan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 18 hingga 22 peraturan serta keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan sebanyak 24 saham yang ditawarkan dapat dicapai.
“Pada masa sama, mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan suspek bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli pelaburan.
“Bermula dari 8 November tahun lalu hingga 7 Januari lalu, mangsa melakukan 21 transaksi ke lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan yang keseluruhan berjumlah RM888,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal menerima sebarang pulangan seterusnya seperti yang dijanjikan.
Katanya, siasatan mendapati sumber kewangan mangsa daripada wang simpanan peribadi, pinjaman peribadi, pelaburan ASB serta Tabung Haji.
“Mangsa kemudian menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






