Kejayaan atasi Hong Kong barakan keyakinan

Kejayaan atasi Hong Kong barakan keyakinan


KEM perseorangan negara Piala Thomas 2024 berjaya membuktikan kemampuan mereka, sekurang-kurangnya selepas mengetepikan pemain Hong Kong dalam aksi pembukaan Kumpulan D pada Sabtu walaupun turun tanpa harapan tinggi.

Selepas pemain profesional Lee Zii Jia meletakkan Malaysia 1-0 usai kemenangan straight set ke atas Lee Cheuk Yiu, 21-18, 21-18, fokus terarah kepada Leong Jun Hao dan Justin Hoh ketika mereka melangkah ke gelanggang di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Chengdu.

Ternyata, kedua-dua pemain itu tidak menghampakan penyokong negara apabila mereka melaksanakan tugas dengan baik untuk membantu Malaysia menewaskan Hong Kong 5-0.

Pemain ke-37 dunia Jun Hao, yang mengesahkan mata kemenangan Malaysia dengan menundukkan Angus Ka Long (ke-27) 17-21, 21-12, 21-15, percaya keputusan hari ini melonjakkan keyakinan mereka untuk menentang pemain pada ranking lebih tinggi di sini.

“Saya harap kami akan terus bermain dengan baik dan berjuang untuk memperoleh satu mata bagi pasukan. Pastinya kemenangan ini memberi saya rangsangan untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya kerana agak sukar menentang Angus tadi,” katanya kepada media Malaysia selepas perlawanan.

Selepas ketinggalan dalam set pertama, Jun Hao berkata sokongan padu rakan sepasukan mendorongnya untuk bangkit dan menyumbang mata ketiga buat skuad kebangsaan.

Sementara itu, Justin, yang mengharungi tiga set berdepan Chan Yin Chank sebelum menang 21-17, 19-21, 21-17 pada perlawanan terakhir, mengakui berasa tertekan untuk beraksi dalam kejohanan besar pertamanya itu di Chengdu.

Menurut atlet berusia 20 tahun itu, beliau terlalu menekan diri sehingga membawa kepada kekalahan pada set kedua.

Sementara itu, Zii Jia berkata meskipun berasa tertekan menentang Cheuk Yiu, beliau akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya menewaskan pemain ke-15 dunia itu untuk menghadiahkan mata sulung buat Malaysia.

Pemain ke-10 dunia itu berkata beberapa petua daripada jurulatihnya Wong Tat Meng, yang pernah melatih Cheuk Yiu sebelum ini, berhasil, sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka 2-2 sejak pertembungan pertama di Kejohanan Antarabangsa Belgium 2017.

Dalam pada itu, kapten pasukan Soh Wooi Yik berharap mereka akan meneruskan momentum kemenangan itu pada perlawanan seterusnya, manakala pasangan beregunya Aaron Chia optimis kejayaan ke atas Hong Kong akan membuka pintu untuk Malaysia muncul sebagai pasukan dua teratas Kumpulan D sekali gus layak ke suku akhir.

Aaron-Wooi Yik mencatatkan mata kedua negara selepas menewaskan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12 manakala beregu kedua Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata keempat dengan kemenangan 21-19, 21-18 ke atas Reginald Lee-Tang Chun Man.

Malaysia, juara lima kali, perlu mengatasi Algeria dalam aksi kedua esok untuk berpeluang layak ke suku akhir, sebelum menamatkan kempen Kumpulan D menentang juara 2016 dan pasukan kuat dari Eropah, Denmark, Selasa ini. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top