Kejayaan Barcelona ke separuh akhir tak perlu dipertikai

Kejayaan Barcelona ke separuh akhir tak perlu dipertikai


PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick menegaskan skuad bimbingannya berhak mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara biarpun tewas 1-3 kepada Borussia Dortmund dalam aksi suku akhir kedua pada Rabu.

Barcelona bertandang ke Jerman dengan bekalan kemenangan selesa 4-0 di laman sendiri pada aksi pertama, sekali gus menyukarkan misi kebangkitan Dortmund untuk mara ke separuh akhir buat musim kedua berturut-turut.

Dortmund memberi tentangan sengit apabila Serhou Guirassy menjaringkan hatrik dalam kemenangan bergaya mereka, namun kelebihan agregat 5-3 memihak Barcelona yang menempah slot ke separuh akhir buat kali pertama sejak musim 2018/19.

“Kami bermain dua perlawanan dan secara keseluruhan, kami memang berhak untuk mara. Saya tidak mahu terlalu banyak bercakap tentang pasukan saya kerana ia tidak adil buat Dortmund.

“Mereka benar-benar beri kami kesukaran, tetapi yang penting, kami berjaya ke separuh akhir,” katanya.

Barcelona kini masih dalam landasan memburu kejuaraan treble musim ini apabila sudah layak ke final Copa del Rey dan mengungguli La Liga dengan kelebihan empat mata.

Dalam pada itu, pemain tengah muda Barcelona, Fermin Lopez yang mencetuskan jaringan sendiri Ramy Bensebaini berkata pengalaman sukar di Dortmund akan menjadikan pasukan lebih kuat.

“Dortmund merupakan pasukan yang sangat baik, anda boleh lihat hari ini. Minggu lalu kami beri mereka pengalaman ngeri di tempat kami, dan hari ini kami pula yang diuji. Tapi akhirnya, kami berjaya mara.

“Kami kini berada di separuh akhir dan banyak pengajaran yang boleh kami ambil daripada perlawanan ini kerana ia benar-benar satu tugas yang besar,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top