‘Kejayaan ini juga milik anda semua’

‘Kejayaan ini juga milik anda semua’


Tang Jie-Ee Wei hadiahkan Kejohanan Dunia buat Malaysia.

BERDIRI di atas podium Kejohanan Dunia pada Hari Kebangsaan negara, perasaannya sukar digambarkan dengan kata-kata.”

Demikian luahan pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie setelah mencipta sejarah manis bersama Toh Ee Wei apabila muncul juara dunia 2025 selepas aksi final di Adidas Arena, Paris pada Ahad.

Pasangan pilihan keempat kejohanan itu hanya mengambil masa 40 minit untuk menjinakkan beregu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dalam kemenangan straight set 21-15, 21-14, sekali gus menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Dunia.

Kejayaan bersejarah itu lebih bermakna apabila diraikan serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

“Kejayaan ini bukan sekadar gelaran juara, tetapi mencerminkan perjalanan panjang, pengorbanan, dan sokongan tanpa henti yang kami terima sepanjang laluan ke puncak.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Ee Wei, barisan jurulatih, pasukan, serta semua petugas di belakang tabir yang terus percaya dan berdiri bersama kami. Kejayaan ini juga milik anda semua,” ujar Tang Jie.

Tang Jie turut merakamkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia, sambil menyifatkan kejayaan di pentas dunia ini sebagai hadiah paling bermakna buat negara.

“Semoga detik ini menjadi satu kenangan yang boleh kita raikan bersama. Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top