Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab. Foto AFP
PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca menegaskan bahawa kejayaan menjulang trofi Piala Dunia Kelab adalah sama pentingnya dengan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, selepas pasukannya menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 pada aksi final edisi sulung kejohanan baharu anjuran FIFA, awal pagi Isnin.
“Saya merasakan kejohanan ini akan menjadi sangat penting, malah mungkin lebih penting daripada Liga Juara-Juara,” kata Maresca, yang turut membawa pulang trofi kedua musim ini selepas memenangi Liga Konferensi Eropah pada Mei lalu.
Maresca, yang baru semusim membimbing Chelsea, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai staf kejurulatihan Pep Guardiola di Manchester City ketika kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2023.
“Saya bertuah pernah menjadi sebahagian daripada pasukan yang menjuarai Liga Juara-Juara, tetapi kejohanan ini menghimpunkan kelab-kelab terbaik dunia, jadi saya rasa nilainya setaraf.
“Ini satu kejayaan besar buat kami dan membolehkan penyokong Chelsea berbangga kerana lambang kejuaraan ini akan tersemat di jersi kami untuk tempoh empat tahun,” ujar jurulatih dari Itali itu.
Maresca turut mendedahkan bahawa beliau mengarahkan pemainnya agar turun menyerang PSG sejak awal permainan, dan hasilnya Chelsea berjaya menjaringkan ketiga-tiga gol pada babak pertama menerusi dua jaringan Cole Palmer dan satu gol daripada Joao Pedro.
“Pesanan saya jelas untuk tunjukkan kepada mereka bahawa kami datang untuk menang, dan saya rasa dalam 10 minit pertama, kami berjaya membuktikannya.
“Ia menetapkan rentak permainan dan selebihnya bergantung kepada kualiti pemain kami,” katanya.
Pemain antarabangsa England, Cole Palmer, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas meledak dua gol dan mencipta satu bantuan gol kepada Joao Pedro.
Bintang berusia 23 tahun itu menepati statusnya sebagai ‘superstar’ apabila wajahnya digunakan sebagai wajah promosi kejohanan di papan iklan sekitar New York, sebaris dengan nama besar seperti Kylian Mbappé dan Vinícius Júnior dari Real Madrid.
“Menjaringkan gol sudah tentu satu perasaan yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila kami bermain dengan penuh semangat dan mengikuti sepenuhnya perancangan jurulatih.
“Saya cuma mahu lakukan yang terbaik setiap kali turun ke padang dan harap dapat teruskan aksi konsisten ini,” katanya.