Kejayaan Qabil perkembangan positif arena pemotoran negara

Kejayaan Qabil perkembangan positif arena pemotoran negara


Qabil Irfan muncul juara keseluruhan ESBK Talent 2025 walaupun saingan
musim ini masih berbaki satu perlumbaan.

KEJAYAAN pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent 2025 merupakan satu perkembangan baik buat sukan permotoran negara, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Pemerhati sukan negara, Datuk Pekan Ramli berkata, ia juga membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat namun mengharapkan pelumba muda negara seperti Qabil Irfan dapat terus meningkatkan keupayaan untuk bersaing di kejohanan lebih tinggi iaitu MotoGP.

“Sukan permotoran ini memang dari dulu kita sudah melahirkan ramai pelumba bagus yang beraksi selain daripada kejohanan di MotoGP.

“Selepas Hafizh Syahrin Abdullah (pelumba pertama negara berlumba di MotoGP) kita tak ada lagi bakat lain yang beraksi di perlumbaan tertinggi itu.

“Jadi, saya berharap kepada pelumba muda seperti Qabil dapat terus meningkat ke Moto3, Moto2 dan kemudiannya beraksi di MotoGP,” katanya kepada Sukan Sinar.

Qabil Irfan melakar sejarah tersendiri muncul juara ESBK menewaskan ramai pelumba dari negara lain dengan berbaki satu pusingan terakhir yang akan berlangsung di Jerez, November depan.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli turut mencuri tumpuan apabila dijadualkan beraksi dalam saingan Moto3 musim hadapan selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam saingan Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025.

Dalam pada itu, Pekan berkata, usaha melahirkan pelumba bertaraf dunia tidak seharusnya hanya digalas oleh pihak industri semata-mata, sebaliknya perlu mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.

“Malaysia antara negara yang mempunyai industri motosikal yang cukup besar. Kita ada banyak syarikat dan jenama besar yang terlibat dalam pengeluaran dan jualan motosikal.

“Justeru, kita perlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pengeluar motosikal untuk bersama-sama membina ekosistem sukan permotoran yang kukuh.

“Kita bukan minta tubuh pasukan perlumbaan sendiri kerana kosnya sangat tinggi, tetapi cukup jika ada usaha serius melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti yang mampu menarik minat jenama besar dunia untuk merekrut mereka,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kejayaan pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent 2025 merupakan satu perkembangan baik buat sukan permotoran negara
  • Pemerhati sukan negara, Datuk Pekan Ramli berkata, ia juga membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat dan mengharapkan pelumba seperti Qabil Irfan dapat terus meningkatkan keupayaan untuk bersaing di MotoGP
  • Qabil Irfan melakar sejarah tersendiri muncul juara ESBK menewaskan ramai pelumba dari negara lain
  • Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli turut mencuri tumpuan akan beraksi dalam saingan Moto3 musim hadapan
  • Pekan berkata, usaha melahirkan pelumba bertaraf dunia perlu mendapat sokongan penuh daripada kerajaan, sektor swasta dan pengeluar motosikal



Source link

OR

Scroll to Top