ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui Ulsan HD FC yang akan bertemu anak buahnya dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) malam esok tidak kurang hebatnya.
Menurutnya, ini kerana kelab Korea Selatan tersebut berjaya menjuarai takhta Liga K1 baru-baru ini.
Namun pengendali berusia 56 tahun itu berkata, situasi tersebut tidak mengundang resah buat pasukannya kerana skuad Harimau Selatan telah membuat persiapan rapi.
Jelasnya, ia untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman pihak JDT.
“Kita menjangkakan satu pertembungan yang sengit pada malam esok, bagaimanapun kita tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mendapatkan kemenangan setelah beraksi di stadium keramat kita sendiri.
“Walaupun Pan Gon mengenali ramai pemain JDT, itu tidak bermakna ia memberi kelebihan buat pasukannya. Apa pun, kita akan fokus pada aksi pasukan setelah semua pemain berada dalam keadaan baik dan siap sedia untuk diturunkan.
“Setakat ini dalam saingan ACLE, pemain telah menunjukkan persembahan terbaik mereka dan pada perlawanan ini kita akan cuba mendominasi permainan dengan corak permainan yang dinamik seterusnya menekan pihak lawan untuk memperoleh kemenangan,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Untuk rekod, JDT ketika ini menghuni kedudukan kelima Kumpulan A ACLE setelah mengutip empat mata dalam tiga perlawanan setakat ini.
Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, ACLE merupakan pentas untuk JDT menunjukkan potensi mereka berdepan kelab ternama di rantau Asia ini.
“JDT juga merupakan kelab yang besar dan kita perlu terus berkembang saban tahun untuk meletakkan nama JDT di peta Asia, kita mempunyai ramai pemain yang bagus-bagus untuk buktikan potensi kita dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, bek tengah JDT, Jordi Amat berharap penyokong dapat membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan kepada pasukan untuk meraih kemenangan.
Dalam situasi ketika ini, pasukan pelawat tampak akan bermain agresif bagi memburu mata pertama mereka dalam kejohanan ini.
“Jika dilihat di atas kertas, Ulsan HD dilihat lebih terdesak untuk mencari mata setelah kelab Korea Selatan itu berada di kedudukan tercorot tanpa mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan.
“Namun, kita tidak boleh memandang rendah pasukan lawan yang merupakan pasukan terkuat di Korea Selatan. Mereka mempunyai alasan untuk bermain bermatian untuk kekal bersaing dalam ACLE,” ujarnya yang baru kembali daripada kecederaan.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL