Kejohanan Dunia: Empat pemain negara mara pusingan kedua

Kejohanan Dunia: Empat pemain negara mara pusingan kedua


EMPAT pemain skuasy negara, termasuk S Sivasangari mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.

Bagi kategori wanita, Sivasangari yang berada ranking ke-9 dunia memulakan kempen kejohanan dunia yang berlangsung di University Club of Chicago dengan kemenangan ke atas pemain nombor 52 dunia dari Sepanyol, Marta Dominguez, 11-4, 11-5, 16-18, 11-2.

Pemain pilihan ketujuh kejohanan itu akan berdepan cabaran seterusnya, Sana Ibrahim dari Mesir, yang menewaskan jaguh Finland, Emilia Soini dengan 11-8, 11-5, 11-5.

Pemain nombor 19 dunia, Rachel Arnold turut menempah tempat ke pusingan seterusnya selepas meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut ke atas Nour Heikal dari Mesir, 11-9, 11-9, 4-11, 11-3.

Cabaran getir menunggu Rachel di pusingan kedua apabila terpaksa berdepan pilihan utama yang juga nombor empat dunia, Olivia Weaver, yang meleburkan harapan peminat skuasy Malaysia dengan menewaskan Aifa Azman, 11-3, 11-2, 11-1.

Juara baharu Terbuka Bermuda 2025, Aira Azman turut mara ke pusingan kedua setelah menundukkan Torrie Malik dari England, 11-8, 10-12, 11-7, 11-8.

Menduduki rangking ke-26 dunia, Aira akan berdepan dengan Salma Hany dari Mesir, yang menewaskan rakan senegara, Menna Hamed, 11-9, 8-11, 11-9, 11-3.

Sementara itu, wakil tuan rumah, Amanda Sobhy, membuktikan dia terlalu kuat buat Noor Ainaa Amani Ampandi apabila menang mudah 11-3, 11-2, 11-3.

Bagi kategori lelaki pula, pemain nombor 10 dunia, Ng Eain Yow menepati jangkaan apabila menyingkirkan Patrick Rooney dari England, 11-8, 11-5, 11-6.

Eain Yow yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan, akan menghadapi lawan dari Pakistan, Muhammad Asim Khan di pusingan kedua selepas Asim menang dalam perlawanan sengit lima set menentang pemain Perancis, Auguste Dussourd, 11-9, 7-11, 12-10, 7-11, 11-2. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top