Skuad e-sukan negara akan menentang Filipina dalam Kejohanan Dunia IESF di Riyadh pada Jumaat. Foto FB Selangor Red Giants Esports.
SKUAD e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) negara meneruskan momentum positif dalam Kejohanan Dunia IESF 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat.
Pasukan negara yang diwakili Selangor Red Giants (SRG) mara ke aksi grand final setelah menewaskan wakil Indonesia 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pada sebelah pagi.
Menerusi kemenangan tersebut Malaysia akan berdepan pasukan dari Filipina dalam pusingan akhir pada jam 7 malam ini.
Kemaraan skuad negara ke pentas akhir turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah beliau turut menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sengit kerana Filipina juga mempunyai pasukan yang hebat.
“Mari kita rakyat Malaysia doakan agar mereka meraih kejayaan. Diharapkan ia mampu menjadi motivasi buat anak muda yang berminat dengan e-sukan,” katanya.
Malaysia sebelum ini tewas 1-2 kepada Filipina dalam saingan peringkat kumpulan.
Pertarungan tersebut menjadi pentas terbaik buat skuad negara untuk membalas dendam ke atas Filipina.
Sebagai rekod pada Julai lalu, SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan.
Kejayaan tersebut diraih selepas SRG menewaskan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-2 pada kejohanan Mid Season Cup MLBB 2024 di Amazon Arena Riyadh.
Menerusi kemenangan tersebut, mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.7 juta).