am@hmetro.com.my
Ipoh: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh susulan kes pelajar yang meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di padang ragbi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, selain bagi menghormati pemergian pelajar itu, keputusan KPM membatalkan kejohanan itu antara lain bagi memberi sokongan kepada keluarga pelajar itu selain bertujuan mendidik peserta lain dalam kalangan pelajar mengenai sifat simpati.
“Kita ambil tanggungjawab penuh, setiap kali ada pertandingan sebegini maka semua persiapan untuk kecemasan itu kita sudah ambil kira dan memang menjadi sebahagian besar tanggungjawab kita memastikan keselamatan anak-anak (murid) di atas padang.
“Kejadian seperti ini sangat tidak diduga, sebab itu keputusan membatalkan kejohanan ini sangat penting untuk kita bersama memberikan sokongan kepada keluarga mangsa ketika ini,” katanya kepada pemberita ketika melakukan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil ke atas Allahyarham mangsa di STAR, di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, murid dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor disahkan meninggal dunia jam 11.18 pagi semalam akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan.
Kata Fadlina lagi, setakat ini pihak kementerian belum dimaklumkan sama ada pelajar berkenaan ada menghidap penyakit tertentu atau sebaliknya.
Menurutnya, rasa sedih dan simpati dizahirkan KPM kepada semua pihak yang terbabit khususnya keluarga pelajar itu di samping menjamin akan memberikan sokongan penuh kepada keluarga dan pihak sekolah.
“Hari ini juga kita buat keputusan untuk membatalkan semua kejohanan dan pertandingan (ragbi) ini bagi menghormati dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa ketika ini.
“Pastinya juga kita ambil keputusan ini sesudah mengambil kira semua keadaan dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga serta juga bertujuan mendidik anak-anak supaya simpati ini perlu menjadi sebahagian daripada keputusan penting apabila kita berhadapan dengan situasi seperti ini,” katanya.
Menurutnya lagi, pembatalan kejohanan itu menyaksikan ia akan ditunda pada tarikh 28 hingga 31 Januari lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat awal yang diperoleh mendapati mangsa rebah di hadapan khemah sekitar jam 10.30 pagi semalam ketika ingin masuk ke padang bagi sesi separuh masa kedua perlawanan ragbi.
Pemeriksaan yang dibuat Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas ketika kejadian mengesyaki mangsa terkena sawan berikutan keadaan badan mangsa menggigil dan keras, namun mangsa disahkan meninggal dunia jam 11.18 pagi semalam.
Sementara itu, tinjauan di kawasan STAR mendapati peserta dari SBP lain yang menyertai kejohanan ragbi itu masih berada di STAR dan menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil ke atas Allahyarham yang dijalankan di surau sekolah berasrama itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






