Wee Kiong (kanan) dan Azriyn mengejutkan pasangan Denmark untuk mara ke suku akhir Terbuka Jepun. Foto Agensi
BEREGU profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melakar sensasi apabila mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen dalam aksi pusingan kedua Terbuka Jepun di Tokyo sebentar tadi.
Kemenangan pasangan nombor 26 itu memacu mereka ke saingan suku akhir pada kejohanan berstatus Super 750 tersebut.
Kejayaan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila Azriyn-Wee Kiong dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan itu, pasangan negara bermula positif apabila menang 21-16 pada set pertama, namun gandingan lawan bangkit mengikat kedudukan 15-21.
Menjengah dalam saingan penentuan, Azriyn-Wee Kiong tenang mengawal asakan Astrup-Rasmussen untuk mengesahkan kemenangan 21-19 dalam masa 63 minit permainan.
Menanti mereka dalam saingan suku akhir pada Jumaat ialah pemenang antara wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi atau Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.
Turut mengikat jejak Azriyn-Wee Kiong ialah satu lagi pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menewaskan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.
Gandingan negara yang berkedudukan ke-30 dunia itu terpaksa mengerah kudrat sebelum berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.
Yew Sin-Ee Yi bangkit daripada ketinggalan set pertama 19-21, sebelum mengesahkan kemenangan 21-14, 21-19 dalam tempoh 55 minit pertarungan.
Mereka bakal berdepan cabaran besar menentang pilihan kelima kejohanan dari China,Liang Wei Keng-Wang Chang yang mengalahkan pasangan India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 24-22, 21-14.
Yew Sin-Ee Yi pada Rabu mengejutkan pasangan nombor dua dunia yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-15, 21-15 dalam aksi pusingan pertama.