Jun Hao akan menentang pemain Thailand dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Jumaat. Foto Agensi.
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakar sensasi apabila mengejutkan jagoan Indonesia, Jonatan Christie pada pusingan kedua Terbuka Singapura sebentar tadi.
Kejayaan tersebut membolehkan pemain di ranking ke-25 dunia mara ke saingan suku akhir pada Jumaat.
Dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura itu, Jun Hao turun dengan penuh yakin untuk menang straight set.
Berdepan lawan yang berstatus kelima dunia itu tidak menggentarkan Jun Hao yang mengungguli set pertama 21-16.
Kemenangan tersebut membakar semangat pemain berusia 26 tahun itu untuk terus mendominasi permainan.
Ia ternyata berbaloi apabila Jun Hao mengesahkan kemenangan 21-19 dalam masa 53 minit permainan.
Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu akan berdepan saingan getir menentang pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam aksi suku akhir pada Jumaat.