Kekal atau tinggalkan Real Madrid, Ancelotti kunci mulut

Kekal atau tinggalkan Real Madrid, Ancelotti kunci mulut


SPEKULASI mengenai masa depan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti, terus memuncak dengan laporan media Sepanyol yang mengaitkannya dengan jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brazil.

Bagaimanapun, pengendali berpengalaman itu menegaskan bahawa beliau hanya akan membincangkan hala tujunya bersama kelab gergasi LaLiga Sepanyol itu pada hari terakhir musim.

Ancelotti, yang telah berjaya membimbing Real Madrid meraih tiga trofi Liga Juara-Juara dan dua gelaran Piala Dunia Kelab, kini sedang berusaha untuk menambah koleksi kejuaraannya dengan gelaran LaLiga yang ketiga bersama Los Blancos.

Pada masa ini, Real Madrid berada di tangga kedua liga, empat mata di belakang pendahulu, Barcelona, dengan baki lima perlawanan untuk diharungi.

Dalam sidang media menjelang pertembungan menentang Celta Vigo di Stadium Santiago Bernabéu pada Ahad, Ancelotti berkata: “Saya ingin menjelaskan, sesungguhnya saya amat menyayangi kelab, para pemain, dan juga para penyokong Real Madrid. Saya akan membicarakan mengenai masa depan saya pada 25 Mei nanti.

“Saya tahu betul apa yang perlu saya lakukan, apa yang akan saya lakukan, dan apa yang sedang saya lakukan, iaitu tidak membincangkan masa depan saya pada hari ini. Saya sedar saya mengecewakan anda hari ini, tetapi saya tidak kisah.”

Ancelotti turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang gambaran mengenai bagaimana atau bilakah beliau akan meninggalkan Real Madrid.

“Apa jua yang berlaku akan menjadi perpisahan yang amat baik. Saya tidak pernah berselisih faham dengan kelab ini selama enam tahun, dan tidak akan memulakannya pada hari terakhir, yang mana saya sendiri tidak tahu bilakah ia akan tiba. Ia mungkin pada 25 Mei, atau mungkin juga pada tahun 2026,” jelasnya.

Meskipun baru-baru ini tewas kepada Barcelona dalam final Piala Raja Sepanyol, Ancelotti menegaskan bahawa Real Madrid, yang meraih kejuaraan LaLiga, Liga Juara-Juara, dan Piala Super Sepanyol pada musim lalu, tidak akan menyerah kalah dalam perebutan gelaran liga dengan musuh tradisi mereka itu.

“Kami baru sahaja mengharungi musim yang hampir sempurna, dan kami telah menghadapi pelbagai kesukaran. Namun, masih ada lima perlawanan berbaki, dan apa sahaja boleh terjadi. Apa yang tidak boleh berlaku adalah kami menyerah.

“Kami perlu memenangi kelima-lima perlawanan ini dan memberikan segalanya. Jika kami berjaya melakukannya, kami boleh mengubah naratif musim ini dan menjadikannya musim yang sangat baik,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top