Kekalahan dua beregu lelaki cetus kebimbangan menjelang Piala Thomas

Kekalahan dua beregu lelaki cetus kebimbangan menjelang Piala Thomas


PETALING JAYA: Hari yang serba tidak menjadi buat kem badminton negara apabila dua beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, hari ini.

Pasangan No. 7 dunia, Sze Fei-Izzuddin dimalukan beregu kurang ternama yang menghuni ranking ke-55 dunia, Chaloempon Charoenkita-Warrapol Thongsa-ng dari Thailand menerusi kekalahan 22-24, 21-18, 11-21 dalam masa 1 jam 4 minit.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 6 dunia pula tewas kepada gandingan tuan rumah yang berada di tangga ke-173 dunia, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 18-21 dalam masa 43 minit.

Bagaimanapun, Ji Ting-Xiang Yu pernah bergelar beregu No. 4 dunia, sebelum Ji Ting dikenakan tindakan disiplin oleh Persatuan Badminton China, pada tahun lalu kerana masalah disiplin dan dipercayai terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.

Kekalahan dua beregu utama Malaysia itu membangkitkan kebimbangan menjelang Piala Thomas di Horsens, Denmark, hujung bulan ini dengan hanya Aaron Chia-Soh Woi Yik yang berjaya melepasi halangan peringkat 32 terbaik.

Apa yang lebih memeritkan, perseorangan lelaki, Justin Hoh turut terkandas setelah tunduk di tangan Alwi Farhan dari Indonesia 19-21, 21-14, 18-21 dalam masa 1 jam 14 minit.

Tersingkirnya Justin, menyaksikan Malaysia tiada wakil dalam sektor perseorangan lelaki di peringkat 16 terbaik, selepas Leong Jun Hao turut tewas dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Dalam saingan perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei kalah kepada pemain muda Jepun, Tomoko Miyazaki 12-21, 15-21 dalam masa 37 minit.

Beregu remaja, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang melakukan penampilan sulung pada Kejohanan Asia juga tumpas kepada pasangan No. 8 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan 12-21, 16-21 dalam masa 38 minit.

Daripada lima kekalahan tersebut, hanya beregu wanita yang menghuni ranking No. 25 dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting berjaya mara ke pusingan kedua.

Begitupun, kejayaan mereka itu dilakar ke atas rakan senegara, Chong Jie Yu-Vanessa Ng menerusi kemenangan 21-9, 21-14 dalam masa 35 minit. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top