London: Ketika perlumbaan Formula Satu (F1) memasuki cuti musim panas selepas berakhirnya Grand Prix (GP) Hungary, hujung minggu lalu, muncul satu wajah baharu yang mencuri tumpuan di paddock.
Wajah itu ialah Margarida Corceiro, seorang model yang pernah menjalinkan hubungan yang terputus dan kemudian bersambung semula dengan pemandu McLaren yang juga calon juara 2025, Lando Norris.
Margarida, 22, pertama kali dilihat bersama Norris, 25, pada Mei 2023, namun pasangan itu dilaporkan berpisah pada Ogos 2024, menurut The Sun.
Hubungan mereka mula menjadi tajuk berita apabila dia dilihat memandu bersama Norris di bahagian belakang kereta Fiat milik pemandu itu pada 2023, ketika Margarida masih dikenali sebagai kekasih jangka panjang kepada bekas penyerang Chelsea, Joao Felix.
Felix yang juga pemain antarabangsa Portugal mula berkenalan dengan selebriti Instagram itu pada 2019 dan mereka bercinta selama empat tahun.
Pengesahan berakhirnya hubungan Margarida dan Felix dibuat apabila dia dilihat bersama Norris menaiki kereta di Monaco, lebih dua tahun lalu.
Margarida berasal dari Santarem, Portugal dan mempunyai pengikut besar di media sosial dengan lebih dua juta pengikut di Instagram serta lebih 800,000 peminat di TikTok.
Sebagai pelakon, dia pernah membintangi drama televisyen Portugal dan kerap menjadi wajah kempen jenama terkenal termasuk Intimissimi dan Alo Yoga.
Margarida pernah menjadi peserta program ‘Dancing with the Stars’ versi Portugal pada 2020, selain mengasaskan jenama pakaian renang mesra alam, Missus dan menghiasi halaman majalah Vogue Portugal.
Norris sebelum ini menafikan terbabit dalam hubungan serius apabila mengaku pada awal musim bahawa dia mempunyai ramai teman wanita.
Model dan pelakon itu kini berpotensi menjadi ratu baharu paddock F1 selepas isteri Christian Horner yang juga bekas anggota Spice Girls, Geri Halliwell, tidak lagi akan hadir berikutan pemecatan suaminya daripada Red Bull, bulan lalu.
Pemecatan itu menamatkan tempoh pemerintahan terpanjang seorang prinsipal pasukan dalam sejarah F1, setahun selepas skandal yang membabitkan mesej teks yang didakwa dihantar Horner kepada seorang pekerja wanita.
Geri sebelum ini tetap berdiri di sisi suaminya selepas tuduhan yang menggoncang paddock F1 tahun lalu dan Horner menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd